AM

HKHM 2025: Sumbangan Penajaan Lebih RM22 Juta Membanggakan - Fahmi

23/10/2025 12:42 AM

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Sumbangan penajaan lebih RM22 juta bagi menjayakan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) amat membanggakan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan HKHM 2025 itu merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Penajaan, yang mendapatkan sumbangan itu hasil kolaborasi serta kerjasama strategik dengan pelbagai sektor korporat, swasta dan pemain industri.

Secara keseluruhan, Kementerian Komunikasi menerusi Jawatankuasa Penajaan telah menerima sumbangan penanjaan sebanyak RM22.31 juta iaitu RM1.96 juta sumbangan dalam bentuk tunai, manakala RM20.35 juta tajaan dalam bentuk in-kind barangan dan perkhidmatan untuk sumbangan HKHM 2025.

“Alhamdulillah, sumbangan daripada 123 rakan strategik adalah sangat bermakna untuk kita semua dan pastinya menceriakan rakyat Malaysia yang telah menghadiri sambutan HKHM 2025.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua rakan strategik HKHM 2025, yang telah memberikan sumbangan penajaan dan diharapkan agar kerjasama erat ini akan dapat diteruskan pada Sambutan HKHM tahun hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis apresiasi HKHM 2025, di sini hari ini. 

Beliau turut menzahirkan keyakinan melalui kerjasama dan dedikasi semua pihak, sambutan HKHM  pada tahun-tahun akan datang bakal lebih gemilang, meriah, dan penuh dengan semangat perpaduan dan patriotisme.

Dalam pada itu Fahmi berkata secara keseluruhan beliau amat berpuas hati dengan kelancaran sambutan HKHM 2025, serta menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.

Pada majlis itu, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak menerima sijil penghargaan daripada Fahmi atas komitmen Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang membantu menjayakan HKHM 2025.

Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung penuh meriah dan lancar pada 31 Ogos lepas.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mencemar duli menghadiri sambutan itu, dan turut disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta anggota Kabinet dan perwakilan asing.

Selain itu, kemuncak sambutan Hari Malaysia 2025 telah turut disambut ribuan rakyat pelbagai kaum yang berkumpul dalam suasana penuh warna-warni, harmoni dan semangat kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, Pulau Pinang pada 16 Sept.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan