PETALING JAYA, 24 Okt (Bernama) -- Dewi Hijab Malaysia 2025, satu inisiatif baharu pemerkasaan wanita dilancarkan sebagai platform nasional yang meraikan wanita berhijab yang menyerlahkan kecantikan, intelek dan identiti.
Edisi sulung pertandingan itu menghimpunkan 25 finalis mewakili negeri dan wilayah persekutuan, masing-masing membawa identiti budaya serta tema advokasi tersendiri seperti keusahawanan, kesejahteraan mental, kelestarian hidup dan pemerkasaan sosial.
Pengasas Dewi Hijab Malaysia Jasrina Jasni berkata proses pemilihan bermula awal tahun ini, dengan memberi tumpuan kepada calon berusia antara 19 hingga 40 tahun yang mempunyai pengaruh media sosial, penglibatan aktif dalam komuniti serta menonjolkan nilai keusahawanan dan kepimpinan wanita.
“Kami ingin menunjukkan bahawa kecantikan, intelektual dan matlamat hidup boleh seiring. Dewi Hijab Malaysia bukan sekadar pertandingan ratu cantik tetapi platform untuk melahirkan wanita yang berfikiran usahawan dan aktif memperjuangkan advokasi sosial,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran program itu di sini hari ini.
Grand Finale Dewi Hijab Malaysia 2025 dijadualkan berlangsung pada 30 Nov di Kuala Lumpur dengan menampilkan dua kategori utama Miss dan Mrs, dua mahkota utama yang menjadi rebutan.
Setiap pemenang akan menerima wang tunai RM1,500 berserta trofi khas dan mewakili Malaysia ke pertandingan Dewi Hijab Universe, yang akan diadakan di Malaysia tahun depan dan dijangka menarik penyertaan lebih 50 negara.
Sementara itu, penaung Dewi Hijab Malaysia 2025 Tengku Khairul Adena Tengku Abdullah berkata pertandingan berkenaan menyasarkan capaian digital sebanyak lima juta tontonan di seluruh negara dengan menghimpunkan pempengaruh media sosial, usahawan dan pembuat perubahan bagi mentakrifkan semula perwakilan hijab moden.
“Pemenang yang dinobatkan bukan sahaja memegang gelaran peringkat kebangsaan, malah akan mewakili Malaysia ke Dewi Hijab Universe 2026, sekali gus memperkukuh identiti budaya serta pemerkasaan wanita negara di pentas global,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial