TAIPING, 24 Okt (Bernama) -- Kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM1.2 juta bagi pelaksanaan projek menangani masalah banjir di sekitar daerah Larut Matang dan Selama (LMS).
Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Neow Choo Seong berkata peruntukan itu akan disalurkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak bagi menjalankan kerja pendalaman sungai, sistem perparitan dan projek tebatan banjir di kawasan terjejas.
“Peruntukan ini susulan lawatan bersama Datuk Amar (Fadillah) pada 3 Okt lepas, yang kebetulan ketika itu berlaku banjir di Taiping. Beliau mengarahkan JPS menjalankan tinjauan serta mengemukakan cadangan bagi mengatasi masalah itu.
“Memandangkan banjir kini semakin kerap berlaku, beliau semalam mengarahkan supaya bantuan kecemasan luar jangka disegerakan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) ADTEC Taiping, malam ini.
Neow berkata jumlah peruntukan itu ditetapkan berdasarkan cadangan dikemukakan JPS sebelum ini.
Beliau memaklumkan Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berharap projek tebatan berkenaan dapat dilaksanakan segera, terutama menjelang hujung tahun ini yang dijangka berlaku musim Monsun Timur Laut (MTL).
“Keadaan banjir yang berulang menyusahkan rakyat. Diharapkan peruntukan ini membawa khabar gembira dan membantu penduduk di kawasan terbabit,” katanya.
Neow berkata walaupun beberapa daerah lain turut berdepan masalah banjir, keperluan di daerah LMS dilihat paling mendesak ketika ini.
Setakat pukul 8 malam ini, seramai 2,806 mangsa banjir daripada 955 keluarga dipindahkan ke 25 PPS di tempat daerah terjejas di Perak iaitu LMS, Manjung, Kerian dan Perak Tengah.
Daerah LMS merupakan kawasan paling teruk terjejas dengan 2,006 daripada 708 keluarga berlindung di 19 PPS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial