BERITA TERGEMPAR   Air Force One carrying US President Trump has landed at KLIA at 9.54 am | 
 AM

Malaysia, Brazil Komited Pertingkat Hubungan Dua Hala Dalam Pelbagai Sektor - PM Anwar

25/10/2025 02:37 PM

Oleh Mohd Khairi Idham Amran dan R. Thivyamali

PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Brazil bertekad memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai sektor merangkumi perdagangan dan pelaburan, tenaga serta pembangunan insan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kedua-dua negara juga berhasrat memperluas dan memperkukuh kerjasama dalam bidang semikonduktor, teknologi makanan, pendidikan dan budaya.

“Malaysia memiliki kepakaran dalam bidang semikonduktor yang boleh dikongsikan dengan Brazil manakala Brazil pula memiliki kelebihan dan pengalaman luas dalam bidang teknologi makanan.

“Kami turut membincangkan kemungkinan untuk meningkatkan import produk ternakan dari Brazil,” katanya pada sidang media bersama Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva selepas mesyuarat dua hala di Seri Perdana di sini hari ini.

Anwar berkata Malaysia dan Brazil juga berpotensi menjadi rakan kongsi utama dalam memacu kerjasama yang lebih mendalam antara ASEAN dan rantau Amerika Selatan.

“Marilah kita pastikan kedua-dua negara dan rantau kita iaitu Amerika Latin dan ASEAN menjalinkan kerjasama erat, dan kita menjadi antara tonggak utama dalam memastikan hubungan ini melangkaui pelaburan perdagangan, politik dan budaya,” katanya.

Pada sidang media itu, Anwar turut memuji pendirian Lula dalam menentang kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin serta pembunuhan beramai-ramai di Gaza, satu perjuangan yang amat dekat di hati rakyat Malaysia.

Beliau menyifatkan Presiden Brazil itu sebagai antara segelintir pemimpin dunia yang unggul dan berani bersuara menentang kekejaman tersebut.

Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada Lula atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, sebagai mengiktiraf kepimpinan dan sumbangan beliau dalam memperkasakan negara-negara Selatan Global, pada majlis konvokesyen khas yang berlangsung hari ini.

Lula kini berada di Malaysia bagi mengadakan lawatan rasmi dari 25 hingga 27 Okt ini dan dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai Tetamu Pengerusi.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memulakan penggal baharu sebagai Presiden Brazil pada Januari 2023, dan juga lawatan pertama seorang Presiden Brazil ke Sidang Kemuncak ASEAN selepas negara itu menjadi rakan dialog sektoral blok berkenaan pada 2022. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan