PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan sekurang-kurangnya 20,000 wanita menjalani saringan kanser payudara sepanjang Oktober hingga Disember tahun ini.
Dalam kenyataan hari ini, KKM memaklumkan sasaran itu selaras dengan komitmen kementerian untuk memperluas capaian saringan dan meningkatkan pengesanan awal bagi membolehkan rawatan diberikan dengan lebih berkesan.
“Walaupun Pink October telah berakhir, KKM meneruskan aktiviti di bawah inisiatif Post-Pink October bagi memastikan mesej kesedaran dan program saringan kanser payudara diteruskan sepanjang tahun.
“Ia juga mencerminkan komitmen KKM untuk memperkukuh akses saringan, meningkatkan rawatan serta memastikan setiap wanita di Malaysia berpeluang dikesan dan dirawat lebih awal,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena penganjuran Pink Ribbon Run 2025 di Dataran Wawasan, Putrajaya hari ini, yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan Pink Ribbon Run 2025, yang menjadi simbol solidariti dan penutup rasmi kempen Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2025 yang berlangsung di seluruh negara sepanjang Oktober.
Menurut KKM, program tahun ini bertemakan “Bersatu Demi Wanita: Sebarkan Kesedaran, Selamatkan Nyawa”, yang menzahirkan semangat perpaduan masyarakat dalam melindungi wanita Malaysia daripada ancaman kanser payudara.
Dr Dzulkefly dalam kenyataan sama menegaskan bahawa kanser payudara kekal sebagai kanser utama di Malaysia, dengan 50.5 peratus kes masih dikesan pada tahap tiga dan empat.
“Ini menunjukkan keperluan berterusan untuk memperkukuh advokasi, meningkatkan kesedaran serta menggalakkan saringan awal terhadap penyakit ini,” katanya.
Pink Ribbon Run 2025 menghimpunkan kira-kira 900 peserta daripada pelbagai latar belakang sebagai simbol perjuangan bersama melawan kanser payudara.
Program itu turut menampilkan promosi kesihatan, sesi Sembang Wanita Xtra serta pemeriksaan saringan kanser payudara percuma khusus untuk kumpulan B40.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial