KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Sebuah kompleks Sarawak bakal dibina di Kuala Lumpur tahun hadapan, bagi memudahkan urusan penginapan dan pertemuan penuntut-penuntut dari negeri Bumi Kenyalang, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari berkata kompleks itu akan dibina dengan dilengkapi kemudahan seperti hostel dan inftrastruktur lain, bagi menempatkan pelajar-pelajar dari Sarawak di seluruh Semenanjung untuk bertemu, bermesyuarat dan sebagainya.
“Insya-Allah, tanahnya sudah sedia. Hanya kita bangunkan saja dan akhirnya di tengah-tengah ibu negara, bangunan yang akan berdiri teguh, segak iaitu Kompleks Sarawak.
“Mudah-mudahan ia akan memberikan kenikmatan dan juga kemudahan kepada anak Sarawak,” katanya dalam amanat beliau pada Majlis Makan Malam sempena program Lan Berambeh Anak Sarawak 2025, yang diadakan di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi merangkap Pengerusi Lan Berambeh tahun ini, wakil-wakil rakyat Sarawak dan kira-kira 6,000 anak Sarawak.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri merancang untuk menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi di Sarawak.
“Inisiatif ini akan meringankan beban keluarga terutama yang bekerja sebagai nelayan, petani dan golongan B40, kerana sekarang anaknya berpeluang untuk menuntut pada peringkat tertiary education," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial