AM

KPKT Semak Semula Akta 118 Perkukuh Tindakan Terhadap Pemaju Culas

27/10/2025 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang melaksanakan semakan semula terhadap Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan, termasuk sekatan perjalanan ke luar negara terhadap pemaju atau ahli lembaga pengarah syarikat yang disenarai hitam.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata langkah itu penting bagi memastikan projek perumahan terbengkalai dapat ditangani dengan lebih berkesan serta melindungi kepentingan pembeli rumah di seluruh negara.

Beliau memaklumkan sehingga 30 Sept 2021, sebanyak 107 projek perumahan swasta melibatkan 29,587 unit rumah dan 15,553 pembeli disahkan sebagai terbengkalai di bawah Akta 118.

“Apabila sesuatu projek telah pun disahkan sebagai terbengkalai, kementerian akan mengambil tindakan proaktif dengan menyenarai hitam pemaju perumahan dan ahli lembaga syarikat yang terlibat dengan projek berkenaan.

“Setelah disenaraihitamkan, pihak terbabit juga akan disekat daripada memohon lesen perumahan dan akaun kemajuan perumahan (HDA) sedia ada turut dibekukan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai keberkesanan akta berkenaan dalam menangani pemaju culas yang menyebabkan projek terbengkalai dalam negara. 

Aiman Athirah berkata antara Disember 2022 hingga September 2025, kerajaan berjaya memulihkan kira-kira 60 projek terbengkalai di seluruh negara hasil pelbagai inisiatif KPKT bersama pihak berkepentingan.

Selain itu, beliau berkata bagi meringankan beban pembeli yang terkesan, beberapa inisiatif telah dilaksanakan antaranya fasilitasi melalui mesyuarat penyelarasan antara pemaju, pemaju penyelamat, likuidator dan bank pembiaya bagi mencari penyelesaian kepada pembeli.

“Sekiranya berjaya, para pembeli akan diberikan pemulangan jumlah wang yang telah pun dibayar oleh mereka. Di samping itu, kementerian juga mengeluarkan surat penyelesaian projek terbengkalai yang menyarankan langkah seperti pengurangan atau pengecualian kadar faedah oleh bank pembiaya serta penstrukturan semula pinjaman perumahan.

“Pemohon juga dibantu untuk pengeluaran simpanan kali kedua daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan diberikan peluang memohon pinjaman baharu seperti pinjaman pertama atau pengecualian faedah pinjaman empat peratus sepanjang tempoh projek dipulihkan atau selama lima tahun tertakluk kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fakhruddin mengenai cadangan penubuhan skim jaminan atau tabung khas bagi melindungi pembeli rumah daripada kerugian projek terbengkalai, beliau berkata perkara itu turut menjadi fokus semakan semula Akta 118.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan