SEGAMAT, 27 Okt (Bernama) -- Kerjasama strategik dengan Kementerian Digital terus diperkukuh bagi pelaksanaan bandar pintar secara berterusan di tiga kawasan Wilayah Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata kerjasama itu bagi memastikan ketiga-tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak ketinggalan dalam aspek teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), liputan 5G dan Internet Kebendaan (IoT).
“Kami telah pun ada pelan tindakan Bandar Pintar untuk ketiga-tiga wilayah ini. Kerjasama dengan Kementerian Digital, yang juga kementerian baharu diwujudkan kerajaan amat penting bagi memastikan teknologi dan AI menjadi keutamaan masa depan supaya kita tidak ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Dunia Pintar (IW) 2035 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat dan menyaksikan majlis menandatangani surat niat antara UiTM dan Huawei Malaysia bagi membangunkan Akademi ICT Huawei di UiTM Johor.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun.
Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata IW 2035 antara lain bertujuan memperkenalkan teknologi AI, 5G, IoT dan pengkomputeran awan kepada warga Parlimen itu termasuk mahasiswa, pelajar sekolah dan penduduk setempat.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata melalui penubuhan Akademi ICT Huawei di UiTM Johor, pelajar bukan sahaja didedahkan kepada kemahiran teknologi semasa, malah berpeluang mendapat sijil bertaraf antarabangsa yang diiktiraf oleh Huawei.
“Dengan pelancaran Akademi ICT Huawei di UiTM Johor, kami sedang menyediakan generasi baharu untuk melangkah dengan yakin ke dalam dunia AI, 5G dan pengkomputeran awan, dilengkapi dengan kemahiran dan pensijilan yang diiktiraf di peringkat global. Saya percaya akademi ini adalah pintu masuk kepada kerjaya dan peluang masa depan.
“Saya juga membuka ruang ini bukan sahaja kepada Huawei tetapi syarikat teknologi lain untuk bersama-sama menyokong pembangunan bakat digital negara, selaras dengan dasar kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Simon dalam ucapannya berkata Akademi ICT Huawei menyediakan rangkaian komprehensif kursus profesional dan kurikulum yang dibenarkan dalam bidang yang mendapat permintaan tinggi seperti AI, pengkomputeran awan, komunikasi data, 5G dan 5G Lanjutan.
“Misi utama adalah untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran, pengetahuan dan pendedahan global yang diperlukan untuk berkembang maju dalam ekonomi digital, sekali gus meningkatkan prospek kerjaya mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial