AM

Dua Beradik Tamat Pengajian Bersama Di UTP

28/10/2025 01:01 PM

SERI ISKANDAR, 28 Okt (Bernama) -- Dua beradik graduan Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing, bukan sekadar menjadi kebanggaan keluarga malah simbol kekuatan semangat dan kasih sayang yang tidak pernah luntur sejak kecil.

Intan Nur Dania Asrul Amir, 27, memperoleh Ijazah Sarjana Sains Petroleum Geosains manakala adiknya Muhammad Amir Danial, 24, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian).

Mereka yang berasal dari Ipoh, Perak telah kematian bapa sejak kecil dan hanya dibesarkan oleh ibu yang merupakan seorang suri rumah. 

Intan Nur Dania, yang menuntut di UTP sejak dari peringkat asasi diikuti ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana, berkata berkata penat lelah selama tujuh tahun itu berbaloi apabila berjaya menamatkan pengajian dalam bidang petroleum geosains yang diminatinya.

"Belajar memang ada kesukaran walaupun kita minat, makin lama kita belajar makin susah tetapi pensyarah dan rakan-rakan sentiasa membantu serta memberi sokongan kuat, itu yang membuatkan saya boleh menghabiskan pengajian di sini.

"Saya memilih UTP kerana program petroleum geosains universiti ini antara yang terbaik di Malaysia, selain mempunyai fasiliti seperti makmal, bilik kuliah dan kemudahan penyelidikan yang lengkap," katanya ketika ditemui Bernama selepas Majlis Konvokesyen UTP ke-25 di Dewan Canselor di sini,Ahad lepas.

Intan Nur Dania menerima bantuan pendidikan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Tabung Amanah Zakat UTP. 

Sementara itu, Muhammad Amir Danial berkata dia jarang meminta bantuan daripada Intan Nur Dania kerana memahami kesibukan kakaknya itu.

"Saya belajar berdikari sepanjang belajar di sini dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian bersama-sama dengan kakak," katanya yang bekerja sebagai jurutera jaminan kualiti perisian di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur selepas tamat pengajian pada Disember lepas.

Konvokesyen UTP tahun ini menyaksikan Anugerah Canselor Emas menjadi milik graduan Sains Komputer, Haarinesh Selvaraju, manakala graduan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Ang Yi Hern dan graduan Kejuruteraan Kimia, Nur Rifhany Melissa Rozmi masing-masing menerima Anugerah Canselor Perak dan Anugerah Canselor Gangsa.

Majlis konvokesyen yang berlangsung dua hari bermula 26 Okt melibatkan 1,441 graduan terdiri daripada 1,031 pelajar sarjana muda, 326 lepasan sarjana dan 84 doktor falsafah (PhD).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan