AM

Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Dahului Senarai Penerima Darjah, Pingat Pahang  

28/10/2025 02:25 PM

KUANTAN, 28 Okt (Bernama) -- Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Mohd Radzi Harun mendahului senarai 50 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sultan Pahang berkenan berangkat menyempurnakan istiadat yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta paduka anakanda, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Mohd Radzi dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri, bersama-sama Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad Raja Tan Sri Arshad Al-Haj Raja Tun Uda dan Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.

Turut dikurniakan SSAP ialah Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Roslan Ismail, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto Berhad Datuk Lee Kok Chuan dan Timbalan Pengerusi Yuwang Group Tan Soon Chai.

Penerima tunggal Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera ialah Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Pahang Datuk Khairul Anuar Abdul Rahman.

Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk pula dikurniakan kepada sembilan individu, termasuk Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh Julia Ibrahim; Pengerusi Children’s Protection Society Malaysia (Cawangan Kuala Lumpur) Tengku Asra Jehan Juzailah Tengku Azlan; serta Pengarah dan Ketua Penasihat Eksekutif Kotak Global Sdn Bhd Tariq Ismail Mustafa.

Penerima DSAP lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif The Daily Broth Sdn Bhd Tengku Arif Asaad Tengku Azman, Pengarah Perisikan Strategik Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) Mejar Jeneral Mohamad Fauzi Abdul Majid, dan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad.

Sultan Pahang turut mengurniakan DSAP kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, Profesor Madya Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Hashim @ Wan Husain, serta Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Ruziah Shafei.

Seramai 19 individu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran Datuk, antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Bank Pertanian Malaysia (Agrobank) Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias.

Penerima DIMP lain ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia Lokman Effendi Ramli, Pengarah Perhutanan Pahang Zainuddin Jamaluddin, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor Wandi Yadzid Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad Fakhrunniam Othman.

Duta Besar Malaysia ke Jordan dan Palestin Mohamad Nasri Abdul Rahman turut dikurniakan DIMP, selain Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Profesor Dr Kamal Zuhairi Zamli serta Perunding Pakar Bedah Urologi Kuantan Medical Centre Dr Abdul Aziz Awang.

Turut menerima DIMP ialah penggiat seni Abdul Razak Ahmad dan Pengarang Berita Kanan Berita Harian merangkap Presiden Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) Sarihah Mohd Ali.

Pada istiadat itu, baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) dan Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) masing-masing kepada dua penerima, Darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada enam penerima, Darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada seorang penerima serta Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) kepada tiga penerima.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan