KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- ASEAN kini muncul sebagai blok serantau yang lebih kukuh, bersatu dan fokus dalam menjana manfaat kepada rakyatnya di bawah Kepengerusian Malaysia yang mantap dan berhemah, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.
“Para pemimpin ASEAN telah mengadakan perbincangan yang produktif mengenai cara untuk memperkasakan komuniti kita, memperkukuh daya tahan ekonomi dan memastikan rantau ini kekal terbuka serta saling berhubung dalam landskap global yang sedang berubah,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Wong, yang diiringi isterinya, Loo Tze Lui, dan Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan, adalah antara pemimpin yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, yang melabuhkan tirai hari ini.
Sementara itu, semasa bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di sela-sela sidang kemuncak berkenaan, Wong berkata mereka meneliti semula isu dua hala dan mengesahkan kemajuan yang dicapai dalam pelbagai bidang kerjasama sempena sambutan 60 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara jiran.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada PM Anwar atas layanan mesra beliau, dan saya menantikan peluang untuk membalasnya pada Permukiman Pemimpin tahunan kita hujung tahun ini,” katanya.
Singapura dijadual menjadi tuan rumah Permukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 pada bulan Disember ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial