AM

Patuhi Peraturan Untuk Pastikan Agihan Makanan Gelandangan Di KL Teratur, Bersih

29/10/2025 03:23 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Semua pihak termasuk individu dan pempengaruh diminta supaya mematuhi peraturan ditetapkan sebelum mengadakan aktiviti agihan makanan kepada golongan gelandangan di ibu negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Penteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata setiap pihak yang terlibat perlu berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan aktiviti bantuan dijalankan secara teratur, selamat dan tidak menimbulkan masalah kebersihan.

“Masalah itu timbul apabila terdapat lebihan pengagihan makanan kepada gelandangan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau penyumbang persendirian yang dilakukan di luar kawasan atau tidak mengikut jadual yang telah DBKL tetapkan.

“Jadi, makanan ini dibazirkan serta dibuang begitu sahaja dan sebenarnya sekarang ini ramai gelandangan yang kita jumpa memilih makanan sebab terlalu banyak yang memberi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu langkah penyelarasan antara pihak berkuasa tempatan (PBT), NGO dan agensi kebajikan bagi memastikan aktiviti agihan makanan kepada golongan gelandangan dilaksanakan dengan teratur tanpa menimbulkan masalah sampah ataupun pencemaran di ibu kota.

Roslan turut meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan mengekalkan keseimbangan antara nilai ihsan sosial dan kebersihan bandar dan adakah sesiapa sahaja dibenarkan untuk membantu golongan gelandangan atau perlu berdaftar dengan DBKL terlebih dahulu. 

Dr Zaliha berkata terdapat juga pempengaruh yang sekadar membuat kandungan di media sosial bagi aktiviti itu dan tidak mengikuti peraturan ditetapkan yang akhirnya memberi masalah kepada pihak autoriti khususnya DBKL.

Sehubungan itu, bagi mengekalkan keseimbangan antara nilai ihsan sosial dan kebersihan bandar, beliau berkata DBKL telah menetapkan tiga lokasi pengagihan utama yang dibenarkan iaitu Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku (sebagai pusat agihan makanan harian) dan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur ataupun Anjung Kembar.

“Aktiviti agihan makanan di ketiga-tiga lokasi ini dilaksanakan dengan kerjasama NGO yang berdaftar dengan DBKL dan YKN (Yayasan Kebajikan Negara). Sehingga kini, kita ada lapan NGO yang berkolaborasi dengan DBKL manakala 14 NGO dengan YKN,” katanya.

Beliau berkata pemilihan lokasi pengagihan juga perlu dibuat dengan teliti dan tidak dijalankan di kawasan tumpuan pelancong seperti Segi Tiga Emas Kuala Lumpur bagi menjaga imej bandar raya.

“Sekiranya masih tidak mahu dengar juga nasihat sehingga akhirnya mencemarkan Kuala Lumpur, maka DBKL tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas dan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha turut menyarankan DBKL supaya memperhalusi pelaksanaan dasar yang hanya membenarkan pengagihan makanan kepada golongan gelandangan dalam bentuk pek retort bagi memastikan aspek kebersihan dan keselamatan makanan lebih terjamin.

Beliau berkata langkah itu diyakini dapat mengurangkan risiko pembaziran makanan yang mudah rosak serta memastikan sumbangan disalurkan dengan lebih teratur dan berkesan.

“Dalam masa yang sama, inisiatif Outreach Mobile Centre akan diperkenalkan sebagai pusat pengumpulan dan pengedaran makanan semasa musim perayaan.

“Kita ada masalah contohnya kita dah tentukan tempat pengagihan tetapi mereka tidak hantar ke sana, maka kita akan memperkenalkan Outreach Centre ataupun Mobile Centre di kawasan-kawasan tumpuan dengan mereka yang bermurah hati boleh hantar sumbangan ke situ,” katanya.

Beliau berkata langkah berkenaan diharap dapat menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada hotel, syarikat korporat dan NGO bagi memastikan makanan berlebihan dimanfaatkan golongan memerlukan dengan lebih teratur dan selamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan