KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Projek Battersea di London, United Kingdom, yang dimiliki oleh konsortium yang diketuai oleh Sime Darby Property Bhd dan SP Setia Bhd, kekal menjadi pelaburan strategik utama kepada para pemegang sahamnya, kata Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
PNB dan KWSP melalui satu kenyataan bersama berkata bangunan Battersea Power Station, di dalam presint komersial Battersea Power Station, dimiliki secara bersama oleh PNB dan KWSP, diperoleh sebagai sebahagian daripada portfolio pelaburan hartanah global mereka.
"Kedua-dua organisasi kekal komited untuk merealisasikan potensi pelaburan secara menyeluruh, serta yakin dengan prospek dan potensi peningkatan nilainya. Oleh itu, tiada rancangan segera untuk keluar daripada pelaburan tersebut," kata mereka.
Memandangkan kepada sifat ikonik aset Battersea, kedua-dua pihak terbabit mengakui ada menerima cadangan dari semasa ke semasa daripada pihak yang berminat untuk melabur dalam projek itu.
Sebagai pelabur, PNB dan KWSP akan menilai setiap cadangan dengan teliti, selaras dengan kriteria dan pertimbangan pelaburan mereka, yang sentiasa berasaskan kepada penciptaan nilai bagi manfaat pemegang unit PNB dan ahli KWSP.
"Oleh itu, biasanya apabila pelaburan mencapai tahap kematangan dan pulangan yang disasarkan, kami akan mempertimbangkan peluang untuk pengewangan atau pengenalan rakan strategik bagi menyokong keperluan modal serta pertumbuhan untuk masa hadapan," katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial