SUKAN

Sukan SEA: Zaidatul Idam Kuartet 4x100M Wanita Cipta Keajaiban Di Thailand

30/10/2025 02:41 PM

SERDANG, 30 Okt (Bernama) -- Ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli, berharap dapat membantu kuartet 4x100 meter (m) wanita negara mencipta keajaiban pada Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

Pelari berusia 32 tahun itu berkata, sekiranya mereka berjaya memecahkan rekod kebangsaan 44.58 saat (s) yang dilakukan ketika meraih pingat gangsa pada edisi 2023 di Phnom Penh, Kemboja, tidak mustahil Malaysia mampu mencipta kejutan merangkul emas kali ini.

“Harap penyertaan kami kali ini bukan sahaja untuk melakukan yang terbaik, tetapi juga mencipta keajaiban di sana.

“Kalau mahu menang emas, kami perlu catat sekurang-kurangnya 44 saat, namun kami tidak boleh memandang rendah kemampuan tuan rumah Thailand dan Vietnam,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Thailand merupakan juara bertahan acara itu dengan catatan masa 44.24s diikuti Vietnam yang merangkul perak (44.51s) pada Sukan SEA 2023.

Pemegang rekod kebangsaan 100m wanita itu turut menasihatkan rakan sepasukannya agar tidak berlari dalam tekanan, sebaliknya menikmati suasana pertandingan bagi membantu mereka memberikan persembahan terbaik dan menghadirkan kejayaan bermakna buat negara.

Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini, melibatkan tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan