AM

Pintas Utama Terima Pengiktirafan SHASSIC, Kukuhkan Reputasi Industri Pembinaan

30/10/2025 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Syarikat pembinaan tempatan Pintas Utama Sdn Bhd terus mengukuhkan reputasi sebagai kontraktor berwibawa apabila menerima pengiktirafan Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC) pada Majlis QUEST 2025 hari ini.

Pintas Utama dalam kenyataan memaklumkan anugerah itu mengiktiraf komitmen syarikat dalam mengekalkan standard tertinggi aspek keselamatan di tapak pembinaan sepanjang pelaksanaan projek pembaikan cerun dan jalan dari Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling, Jerantut, Pahang (Seksyen 2).

“Projek Kampung Tuit (Seksyen 2) adalah projek strategik yang menghubungkan Kuala Tahan dan kawasan Hulu Tembeling, merangkumi Kampung Pagi, Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai untuk kesejahteraan penduduk setempat.

“Sebelum projek ini dilaksanakan, penduduk hanya bergantung kepada pengangkutan air melalui Sungai Tembeling yang mengambil masa antara empat hingga lima jam, namun dengan adanya jalan darat yang lebih selamat, masa perjalanan kini dapat dipendekkan kepada kira-kira satu jam sahaja,” menurut kenyataan itu.

Projek itu dilaksanakan di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Pengarah JKR Pahang sebagai pegawai penguasa dan Pintas Utama kontraktor utama.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Zainora Zainal bersama Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan Teknologi dan Bisnes CIDB Malaysia Rofizlan Ahmad kepada wakil Pintas Utama dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang disaksikan oleh Pengarah Cara Kuasa Sdn Bhd dan Auqvale Corporation Sdn Bhd Datuk Abu Jimi Samat.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yang merasmikan majlis berkenaan.

Menurut kenyataan itu, SHASSIC adalah satu kaedah penilaian bebas yang dibangunkan oleh CIDB iaitu untuk menilai prestasi keselamatan dan kesihatan dalam kerja-kerja pembinaan.

Ia merangkumi tiga komponen utama iaitu semakan dokumen, pemeriksaan di tapak kerja serta temu bual bersama pekerja.

“Melalui gabungan ketiga-tiga komponen ini, SHASSIC menilai secara menyeluruh tahap pelaksanaan budaya kerja selamat, sistematik dan pematuhan terhadap peraturan keselamatan dalam industri pembinaan di Malaysia.

“Ini bagi memastikan tahap pelaksanaan budaya kerja selamat dan sistematik dalam industri pembinaan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan