KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kempen pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 70 peratus yang ditawarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), tidak terpakai bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun (NC).
Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata selain itu, tawaran pengurangan terbabit adalah tertakluk kepada nilai kompaun semasa, dengan kadar minimum iaitu RM30 sahaja.
“Urusan penyelesaian saman boleh dilaksanakan melalui platform MyBayar PDRM bagi pengguna berdaftar dengan MyDigital ID, serta di semua kaunter trafik daerah dan pejabat pos di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata kempen terbabit akan dilaksanakan bermula 1 Nov ini hingga 30 Dis depan.
Beliau berkata kempen itu selaras dengan keputusan kerajaan menyelaras semula kadar serta kaedah kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang akan berkuat kuasa 1 Jan 2026 berasaskan prinsip “The Less You Delay, The Less You Pay.”
“Orang ramai boleh menikmati kadar kompaun yang lebih rendah sekiranya bayaran dibuat lebih awal,” katanya.
Mohd Yusri turut menggalakkan orang ramai menyelesaikan saman sebelum 30 Dis ini sebagai sokongan kepada usaha kerajaan membentuk budaya pemanduan yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan selamat.
-- BERNAMA
 
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial