AM

WCE: Kerajaan Selangor Putuskan Isu 19 Penduduk Terlibat Minggu Depan

01/11/2025 06:29 PM

KUALA SELANGOR, 1 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan mengumumkan keputusan akhir berhubung nasib 19 orang penduduk yang juga pemilik tanah di kawasan laluan projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Kampung Jawa, Klang seawal minggu depan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu akan dicapai melalui mesyuarat khas yang akan disertai wakil kerajaan negeri, WCE dan kementerian berkaitan bagi menjawab pelbagai perkara berbangkit terutamanya membabitkan penduduk yang masih belum berpindah.

"Mesyuarat akan diadakan pada 3 Nov ini untuk meneliti perkembangan terkini projek itu termasuk beberapa isu teknikal dan salah faham yang timbul dalam kalangan penduduk di kawasan terbabit.

“Selepas mesyuarat akhir itu nanti, kita akan mendapat keputusan muktamad, dengan beberapa isu teknikal dan salah faham yang berlaku sudah dikenal pasti dan sedang diperbetulkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Makanan Warisan Selangor 2025 di sini hari ini.

Acara yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor itu turut dihadiri Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajudin.

Amirudin berkata kerajaan negeri komited untuk memastikan projek WCE dilengkapkan sepenuhnya tanpa menjejaskan hak serta kepentingan penduduk yang terlibat.

“Kerajaan negeri tetap berpegang kepada komitmen untuk menyelesaikan perkara ini sebaik mungkin. Kita telah memaklumkan kepada pihak WCE dan turut mengadakan perbincangan dengan kementerian berkaitan bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan.

“Kita mahu semua pihak faham bahawa kerajaan negeri bukan mengabaikan aduan penduduk, sebaliknya sedang memastikan setiap keputusan dibuat secara menyeluruh dan bertanggungjawab,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata sebahagian besar salah faham yang timbul sebelum ini berpunca daripada kekeliruan teknikal dan komunikasi antara pihak terlibat, namun perkara itu kini sedang diperbetulkan.

Isu pembinaan WCE di Kampung Jawa, Klang menarik perhatian umum apabila 19 penduduk dilapor enggan berpindah walaupun sebahagian besar proses pengambilan tanah telah diselesaikan oleh pihak berkuasa.

Projek WCE yang menghubungkan Banting, Selangor hingga ke Taiping, Perak merupakan antara projek infrastruktur strategik bagi memperkukuh jaringan pengangkutan dan logistik di pantai barat Semenanjung.

Beberapa bahagian jajaran di Selangor bagaimanapun dilaporkan menghadapi isu pengambilan tanah dan penyesuaian teknikal yang menyebabkan kelewatan pembinaan

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan