AM

Operasi Bas Ekspres Aeroline Digantung Bermula 6 Nov Hingga 5 Dis - APAD

02/11/2025 03:45 PM

PUTRAJAYA, 2 Nov (Bernama) -- Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengesahkan operasi perkhidmatan bas ekspres Aeroline, digantung selama sebulan bermula 6 Nov hingga 5 Dis ini.

APAD dalam kenyataan hari ini memaklumkan penggantungan itu dilaksanakan susulan syarikat bas ekspres milik Zulco Sdn Bhd tersebut, didapati menyalahgunakan lesen bas ekspres dengan mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dibenarkan. 

Bas kendalian syarikat tersebut turut dikesan beroperasi di luar terminal tanpa kebenaran APAD pada 3 Feb, 21 Mei dan 10 Okt lepas.

“APAD ingin menegaskan bahawa penggantungan Lesen Pengendali dan Permit Kenderaan syarikat ini dilaksanakan di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 201, kerana syarikat gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan, khususnya di bawah Perkara 16 dan Perkara 19, Syarat Am Keperluan Tahap Perkhidmatan Bas Ekspres,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen pada 21 Okt, memutuskan syarikat itu bersalah atas kesalahan berulang dan mengenakan penggantungan Lesen Pengendali selama 30 hari.

Sehubungan itu, Zulco Sdn Bhd tidak dibenarkan mengendalikan mana-mana perkhidmatan di bawah Lesen Pengendali berkenaan sepanjang tempoh tersebut.

“Tindakan ini bertujuan menjamin keselamatan penumpang, mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar, serta menyokong usaha pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pihak berkuasa tempatan, untuk mewujudkan persekitaran bandar yang teratur, selamat dan efisien.

“APAD turut mengambil keputusan untuk menggantung sementara lesen syarikat bas ini setelah mengenal pasti beberapa isu pelanggaran syarat lesen yang berulang dan memerlukan tindakan pembetulan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan APAD itu memaklumkan syarikat berkenaan sebelum ini dinasihatkan dan diberi amaran untuk menukar permit perkhidmatan ke terminal yang diluluskan, namun enggan berbuat demikian.

Ekoran itu, APAD mengeluarkan tiga surat tunjuk sebab atas kesalahan yang sama antara 13 Mac hingga 10 Okt lepas, dan syarikat itu mengaku bersalah melalui maklum balas rasmi yang dikemukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan