KLANG, 2 Nov (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Makan Malam Gala Perdasama 2025 di sini malam ini.
Anugerah disampaikan Presiden Perdasama Mohd Azamanizam Baharon itu merupakan pengiktirafan tertinggi pertubuhan berkenaan atas sumbangan luar biasa Mohd Ali yang berterusan membina serta memperkasakan komuniti usahawan di Malaysia khususnya di Melaka serta di peringkat antarabangsa melalui Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).
Sementara itu, 12 individu menerima Anugerah Kepimpinan Perdasama manakala dua individu menerima Anugerah Rakan Strategik Perdasama, yang disampaikan Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain.
Mohd Azamanizam dalam ucapannya berkata pertubuhan itu merupakan satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ekonomi bumiputera yang menjadi panel penasihat Jawatankuasa Penasihat Garis Panduan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
"Alhamdulillah, ini satu lagi bukti kepercayaan terhadap keupayaan Perdasama dalam membawa pandangan dan kepentingan usahawan bumiputera ke peringkat dasar," katanya.
Beliau memaklumkan setakat 1 Sept lepas, keahlian Perdasama telah mencecah 27,480 syarikat bumiputera, merangkumi lebih daripada 50 sektor perniagaan dan industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial