EKONOMI

Malaysia Pergiat Usaha Jadi Hab Semikonduktor Global - MSIA

04/11/2025 04:58 PM

GEORGE TOWN, 4 Nov (Bernama) -- Malaysia sedang mempergiat usaha untuk menempatkan dirinya sebagai hab global bagi industri semikonduktor, selaras dengan matlamat strategik kerajaan untuk meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai ke arah reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembuatan termaju.

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai berkata Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) menekankan komitmen negara untuk memperkukuh peranannya dalam ekosistem teknologi global melalui pelaburan bersasar, pembangunan bakat dan kolaborasi kukuh antara kerajaan, pemain industri dan syarikat pemula niaga tempatan.

“Saya fikir itu adalah perkara terbaik yang berlaku kepada Malaysia kerana beliau (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu) dengan jelas menyatakan kita perlu benar-benar memberi tumpuan kepada semikonduktor dan meningkatkan rantaian nilai ke arah reka bentuk IC dan pembuatan termaju yang menyediakan asas yang sangat kukuh.

“Dengan menumpukan kepada matlamat ini, Malaysia berpotensi menjadi salah satu pusat global yang bukan sahaja untuk semikonduktor tetapi juga bagi industri sokongan yang berkhidmat kepada sektor semikonduktor,” katanya kepada pemberita selepas Pameran Teknologi Automasi Antarabangsa (AUTOMEX) Pulau Pinang 2025 di sini, hari ini.

Pameran itu dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo. Turut hadir ialah Pengurus Besar Negara Informa Markets Malaysia Gerard Leeuwenburgh.

Dianjurkan oleh Informa Markets Malaysia, pameran AUTOMEX Pulau Pinang 2025 yang berlangsung selama tiga hari menampilkan lebih daripada 200 jenama dan syarikat terkemuka yang mempamerkan perkembangan terkini dalam robotik, automasi industri dan penyelesaian kilang pintar, serta dijangka menarik lebih 5,000 pelawat perdagangan.

Wong berkata kedudukan strategik Malaysia dan kelebihan geopolitik menawarkan peluang yang ketara untuk syarikat semikonduktor global mengembangkan operasi mereka di rantau ini.

Bagi meningkatkan kesedaran global mengenai keupayaan Malaysia, beliau berkata kerajaan dan pihak berkepentingan dalam industri merancang untuk menyertai pameran dan ekspo perdagangan antarabangsa dengan lebih aktif.

Platform sedemikian akan membolehkan dunia menyaksikan kekuatan Malaysia dalam teknologi semikonduktor dan industri sokongannya, katanya.

Wong juga menekankan keperluan untuk promosi dan kolaborasi berterusan supaya syarikat-syarikat Malaysia dapat muncul sebagai jaguh global dalam rantaian nilai semikonduktor bagi jangka masa terdekat.

Sementara itu, Leeuwenburgh berkata selama lebih dari satu dekad, AUTOMEX telah dianjurkan bersama METALTECH di Kuala Lumpur, sekali gus meletakkannya sebagai platform utama Malaysia untuk inovasi automasi.

Pameran itu yang dikembangkan ke Pulau Pinang mengukuhkan pertumbuhan sektor pembuatan negeri berkenaan dan selari dengan visi kerajaan untuk Industri 4.0 dan menandakan langkah ke arah Industri 5.0, di mana kreativiti manusia dan teknologi saling berganding bahu.

“Dalam industri ini, Malaysia kadangkala digelar sebagai ‘Switzerland Asia’, sebuah destinasi yang neutral dari segi politik dan boleh dipercayai. Ini menjadikan negara ini menarik bukan sahaja kepada China, tetapi juga kepada pelabur dari Eropah, India dan Amerika Syarikat,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan