EKONOMI

Silicon X Tempa Kejayaan Menerusi Ciptaan Cip FPGA Buatan Malaysia Pertama

05/11/2025 04:59 PM

GEORGE TOWN, 5 Nov (Bernama) -- Syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) tempatan, Silicon X Sdn Bhd mencatat pencapaian penting dalam industri semikonduktor negara dengan kejayaan ujian operasi pertama cip Field Programmable Gate Array (FPGA), sekali gus menandakan satu langkah besar ke arah merealisasikan aspirasi berteknologi tinggi Malaysia.

Pengarah Urusannya Ng Meng Wah berkata kejayaan ujian operasi cip itu menandakan bermulanya fasa ujian dan penyempurnaan sebelum pengeluaran besar-besaran yang disasarkan pada separuh pertama 2026.

“Ini merupakan pencapaian besar bagi kami. Cip itu kini dalam fasa ujian dan penambahbaikan sebelum dipasarkan secara besar-besaran.

“Kami juga sedang mengadakan rundingan lanjutan dengan beberapa pelanggan berpotensi dari Jepun, China dan Malaysia, dan akan membuat pengumuman rasmi selepas perjanjian dimuktamadkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang Datuk Loo Lee Lian.

Ng berkata kitaran hayat biasa bagi cip FPGA adalah sekitar lapan tahun dan Silicon X merancang untuk terus membangunkan generasi baharu cip tersebut bagi memastikan pertumbuhan berterusan.

Cip pertama itu dijangka menjana hasil antara RM200 juta hingga RM300 juta dalam tempoh lapan tahun, dengan aplikasi bagi cip FPGA Silicon X meliputi sistem automotif, paparan papan iklan LED dan sektor lain.

Silicon X yang merupakan antara peserta program Penang Silicon Design @5KM+ (PSD@5KM+), turut mencatat sejarah sebagai syarikat pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menghasilkan produk FPGA.

Sementara itu, Chow berkata kejayaan Silicon X mengukuhkan lagi reputasi Pulau Pinang sebagai hab semikonduktor utama, selaras dengan usaha membangunkan ekosistem cip “Buatan Malaysia” yang mampu meningkatkan peranan negara dalam rantaian nilai global semikonduktor.

“Pulau Pinang berbangga menempatkan syarikat inovatif seperti Silicon X yang membantu merealisasikan aspirasi kami untuk menghasilkan generasi pertama cip ‘Buatan Malaysia’, iaitu direka, dibangunkan dan diterajui sepenuhnya di sini,” katanya.

Ditubuhkan pada 2024, Silicon X memberi tumpuan kepada pembangunan sistem pintar yang menyokong kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin dan automasi. Teknologi FPGA yang dibangunkan bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap penyelesaian import serta mengukuhkan ekosistem semikonduktor negara.

Pada majlis itu, Chow turut mengumumkan inisiatif PSD@5KM+ kini menerima kumpulan kedua peserta inkubasi, melibatkan dua syarikat reka bentuk IC tempatan iaitu Channel Microsystems dan Tenasic Technology, yang akan ditempatkan di Silicon Research & Incubation Space @GBS TechSpace.

Kedua-dua syarikat itu akan menerima sokongan serupa seperti kumpulan pertama termasuk subsidi bagi menampung perbelanjaan operasi seperti sewa, utiliti, perkhidmatan wafer berbilang projek, ujian dan pembangunan tenaga kerja.

“Setakat ini, lebih RM5 juta telah disalurkan kepada kumpulan pertama, menunjukkan momentum awal yang kukuh serta komitmen kerajaan dalam memupuk pertumbuhan sektor reka bentuk IC tempatan,” katanya.

Penambahan dua syarikat baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan tujuh syarikat reka bentuk IC tempatan di bawah PSD@5KM+, sekali gus menunjukkan kemajuan ketara ke arah mencapai sasaran Strategi Semikonduktor Negara (NSS) untuk menubuhkan sekurang-kurangnya 10 syarikat Malaysia yang mengkhusus dalam reka bentuk IC.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan