EKONOMI

AICB Gesa Kerjasama Rentas Sempadan Lebih Kukuh Untuk Perangi Peningkatan Kadar Jenayah Kewangan

05/11/2025 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kadar jenayah kewangan yang meningkat menggariskan keperluan mendesak untuk kerjasama rentas sempadan dan seluruh ekosistem bagi menangani ancaman itu, kata Asian Institute of Chartered Bankers (AICB).

AICB dalam satu kenyataan hari ini menekankan bahawa Malaysia mencatatkan kerugian penipuan dalam talian sebanyak RM1.12 bilion pada separuh pertama 2025 dengan kerugian berkaitan penipuan (scam) berjumlah hampir RM1.92 bilion menjelang September.

Secara global, aliran kewangan haram dianggarkan sebanyak AS$3.1 trilion (AS$1=RM4.20), penipuan dan menggunakan nama bank untuk tujuan penipuan menyumbang hampir AS$486 bilion, katanya.

“Memandangkan teknologi dan AI membentuk semula pematuhan dan pencegahan pengubahan wang haram (AML), kita mesti ingat bahawa tingkah laku dan etika peribadi yang akan mengekalkan kepercayaan.

“Tiada algoritma dapat menggantikan pertimbangan, integriti dan akauntabiliti diharapkan daripada industri kewangan,” kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dalam ucapannya pada Persidangan Antarabangsa ke-15 mengenai Jenayah Kewangan dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (IFCTF).

Sementara itu, Pengerusi AICB Tan Sri Azman Hashim berkata penjajaran antara inovasi dan integriti mentakrifkan pendekatan Malaysia -- kemajuan dikuasakan oleh teknologi, berlandaskan etika, bagaimanapun sistem paling canggih sekali pun tidak dapat menggantikan pertimbangan yang wajar atau nilai-nilai kukuh.

“Dalam era digital ini, setiap seorang daripada kita adalah firewall (sistem keselamatan komputer) -- kewaspadaan, etika dan profesionalisme kita membentuk penghalang yang tidak kelihatan, memastikan sistem kewangan kita selamat. Kekuatan kita terletak pada kakitangan kita -- mahir, berprinsip dan berwaspada, kekal sebagai barisan pertahanan terhebat kita,” katanya.

Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan AmBank dan Pengerusi Kumpulan Rangkaian Pegawai Pematuhan (CONG) Faradina Ghouse berkata institusi kewangan berada di barisan hadapan dalam memerangi jenayah kewangan.

“Landskap semakin kompleks, keupayaan kolektif kita untuk mengesan, mencegah dan respons bergantung pada sejauh mana kita berkongsi risikan, mengukuhkan kerjasama rentas sempadan dan membina kemahiran yang betul.

“Pematuhan hari ini bukan sekadar mengenai peraturan -- ia adalah tentang daya tahan, integriti dan kerjasama merentasi keseluruhan ekosistem kewangan,” katanya.

AICB dan CONG dengan sokongan BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan telah menghimpunkan lebih 50 pakar global dan serantau serta lebih 1,200 profesional perbankan di IFCTF 2025 ke-15, dari 4 hingga 6 November, 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Bertemakan Masa Depan adalah Sekarang: Pematuhan Didorong Teknologi dalam Perangi Jenayah Kewangan", perbincangan tahun ini mengkaji bagaimana kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin dan analitik lanjutan mengubah pematuhan dan pengurusan risiko.

Topik utama termasuk pengesanan penipuan dikuasakan  AI, pematuhan berasaskan pembelajaran mesin, peningkatan aset maya, keganasan dan pembiayaan percambahan serta rangka kerja anti-rasuah dan AML, semuanya berlatarbelakangkan penguatkuasaan global lebih ketat dan ancaman penipuan digital yang semakin meningkat.

Mencerminkan komitmen Malaysia lebih luas terhadap pembaharuan, Belanjawan 2026 memperuntukkan RM32 juta untuk memperkukuh rangka kerja perundangan dan memerangi penipuan, selain membentangkan Rang Undang-Undang Jenayah Siber baharu dan keupayaan yang diperluas untuk Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

IFCTF diadakan buat tahun ke-15 merupakan platform kepimpinan pemikiran paling berpengaruh di ASEAN untuk pencegahan jenayah kewangan dan kecemerlangan pematuhan, mengesahkan semula komitmen AICB untuk memajukan literasi digital, kerjasama global dan kepimpinan beretika merentasi sektor perbankan dan kewangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan