EKONOMI

Petronas, Pembina Kanada Meterai Perjanjian 20 Tahun Bagi Penggunaan Kapasiti Cedar LNG

05/11/2025 10:11 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Pembina Pipeline Corporation dari Kanada memeterai perjanjian 20 tahun bagi menggunakan kapasiti pencairan gas asli cecair (LNG) sebanyak 1.0 juta tan setahun (mtpa) di kemudahan Cedar LNG, menerusi anak syarikat masing-masing.

Dalam kenyataan hari ini, Petronas berkata perjanjian itu melibatkan struktur perkhidmatan pencairan sintetik bagi kapasiti 1.0 mtpa, yang membolehkan Pembina menyediakan perkhidmatan pengangkutan dan kapasiti pencairan kepada Petronas LNG Ltd untuk tempoh 20 tahun.

Perjanjian ini turut membuka akses kepada Petronas mendapatkan saluran eksport gas asli tambahan bagi pelaburan huluannya yang besar di Kanada, sementara Pembina memperoleh aliran pendapatan jangka panjang yang stabil menerusi struktur “ambil atau bayar” (take-or-pay) serta potensi peningkatan nilai.

“Ia juga menunjukkan komitmen bersama antara Pembina dan Petronas untuk merealisasikan potensi jangka panjang LNG Kanada, menyokong keterjaminan tenaga dan mempercepatkan peralihan kepada bahan api lebih bersih di Asia,” menurut kenyataan itu.

Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG Petronas Gas dan Perniagaan Maritim Shamsairi M. Ibrahim berkata perjanjian tersebut mencerminkan komitmen berterusan Petronas terhadap pelaburan di Kanada serta usaha berterusan memperkukuh portfolio bekalan LNG globalnya.

“Kami mengalu-alukan kerjasama dengan Pembina dan projek Cedar LNG ini kerana ia meneguhkan peranan Petronas sebagai pemain tenaga bersepadu serta menunjukkan dedikasi kami untuk memonetisasi sumber gas secara bertanggungjawab.

"Kerjasama ini memperkukuh kepelbagaian dan kebolehpercayaan rantaian bekalan kami kepada pelanggan, selain menegaskan komitmen Petronas dalam menyediakan tenaga rendah karbon yang mampan bagi menyokong pertumbuhan tenaga di rantau Asia,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Pegawai Pembangunan Korporat Pembina Stu Taylor berkata perkongsian itu mengesahkan lagi potensi projek Cedar LNG dan menunjukkan permintaan kukuh terhadap kapasiti eksport global memandangkan kelebihan LNG Pantai Barat Kanada, termasuk kos bahan mentah yang kompetitif serta jarak penghantaran lebih singkat ke pasaran Asia.

“Perjanjian ini merupakan lanjutan daripada hubungan sedia ada kami dengan Petronas dan satu perkembangan penting dalam peluasan berterusan perniagaan eksport Pembina,” katanya.

Menurut kenyataan itu, perjanjian ini menandakan langkah pertama penting dalam usaha pemasaran semula Pembina, yang menjangkakan akan memuktamadkan perjanjian bagi baki 0.5 mtpa kapasiti menjelang akhir tahun ini.

Projek Cedar LNG bernilai US$4 bilion (anggaran kasar) (US$1=RM4.18) berjalan mengikut jadual dan peruntukan kos serta dijangka beroperasi pada akhir 2028, katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan