WASHINGTON, 6 Nov (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh selepas sebuah pesawat kargo terhempas pada Selasa sejurus selepas berlepas dari lapangan terbang antarabangsa di Louisville, Kentucky, menurut Datuk Bandar Craig Greenberg pada Rabu.
“Saya amat sedih untuk memaklumkan bahawa angka kematian telah meningkat kepada 12, dengan beberapa individu masih belum ditemukan,” kata Greenberg di platform media sosial X, lapor Anadolu Ajansi.
Terdahulu, Gabenor Kentucky Andy Beshear berkata seorang kanak-kanak antara yang terkorban, "dan kanak-kanak itu masih sangat muda, menjadikannya lebih sukar untuk diterima".
Penerbangan UPS 2976 itu terhempas kira-kira 5.15 petang waktu tempatan (2215GMT) selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Muhammad Ali (SDF) menuju ke Honolulu, Hawaii.
Beshear memberitahu pemberita bahawa beliau telah mengisytiharkan darurat.
“Berita baharu hari ini, susulan kejadian semalam, ialah pengisytiharan darurat bagi membantu kita menangani nahas pesawat ini. Ia membolehkan kita menggerakkan sumber dengan lebih cepat melalui pengurusan kecemasan dan Pengawal Kebangsaan Kentucky,” katanya.
Selain itu, Beshear berkata beliau telah menubuhkan Tabung Bantuan Kecemasan Team Kentucky bagi membantu mereka yang terjejas akibat “nahas dahsyat ini.”
Pihak berkuasa pada Selasa memaklumkan bahawa 11 orang telah dibawa ke hospital susulan insiden itu.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) mengetuai siasatan nahas tersebut.
Ahli NTSB Todd Inman memberitahu pemberita bahawa terdapat tiga individu di dalam pesawat berkenaan. Selepas mendapat kebenaran untuk berlepas, “kepulan api besar” kelihatan di bahagian sayap kiri semasa pesawat mula berlepas.
Beliau berkata NTSB akan menganalisis fakta, menentukan punca kemalangan dan mengeluarkan laporan serta syor.
“Kami telah mengenal pasti perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan, yang lazimnya dirujuk sebagai ‘kotak hitam’,” kata Inman.
Apabila ditanya tentang keadaan fizikal kotak hitam itu, Inman berkata beliau hanya melihat satu gambar.
“Anda boleh kenal pasti dengan jelas ia adalah kotak hitam, dua silinder di bahagian atas. Pakar kami berkata mereka dapat mengenal pasti dengan mudah. Namun, kami tidak akan tahu dengan pasti sehingga ia tiba di Washington, DC,” katanya.
“Mujurlah, ia tidak berada dalam kebakaran selepas impak selama berhari-hari atau di dasar lautan. Walaupun api mungkin kuat, ia direka untuk menahan keadaan sebegitu. Setelah sampai ke DC, kami boleh membukanya,” tambahnya.
Lapangan terbang itu dibuka semula untuk trafik udara awal Rabu, kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), namun beberapa laluan teksi masih ditutup.
Pengarah Eksekutif Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville Muhammad Ali, Dan Mann, memberitahu pemberita bahawa lapangan terbang kini “beroperasi.”
“Kami memang mengalami beberapa kelewatan. Semalam, 21 penerbangan dibatalkan… Hari ini pula, 16 penerbangan dibatalkan… Kami menjangka mungkin akan ada lebih banyak kelewatan dan beberapa pembatalan lagi sehingga satu lagi landasan dibuka. Namun, kami beroperasi,” katanya.
Greenberg turut memberi amaran kepada orang awam supaya tidak menerbangkan dron berhampiran lokasi nahas pesawat.
“Tolong jangan jadi individu yang mengganggu usaha pemulihan kami. Beri peluang kepada anggota penyelamat dan pasukan NTSB untuk menjalankan tugas mereka, dan jangan gunakan dron di ruang udara terhad itu buat masa ini,” katanya pada sidang akhbar.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial