AM

Kolej KEDA Berhasrat Kembangkan Latihan Bidang Teknologi Hijau

06/11/2025 04:22 PM

SIK, 6 Nov (Bernama) -- Kolej KEDA, sebuah institusi latihan kemahiran di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berhasrat mengembangkan program latihan dalam bidang teknologi hijau bagi memperkukuh program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di kolej itu.

Pengerusi KEDA Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata langkah itu susulan kejayaan kolej berkenaan melahirkan ramai lepasan TVET dan mencapai kadar kebolehpasaran sehingga 96 peratus.

“Hasil kolaborasi antara KEDA bersama kira-kira 30 rakan strategik turut melonjakkan kebolehpasaran graduan dalam pasaran kerjaya.

“KEDA kini berhasrat menceburi bidang teknologi hijau, namun masih di peringkat perbincangan dalaman, ada syarikat yang berminat untuk berkolaborasi namun beberapa perkara perlu diteliti kerana turut melibatkan kos, ruang (bengkel) dan peralatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival TVET MADANI@Kolej KEDA di sini hari ini.

Mahdzir berkata KEDA akan berkolaborasi dengan rakan strategik dalam setiap bidang yang diceburi bagi memastikan kebolehpasaran graduannya.

Beliau berkata menerusi kolaborasi itu, penuntut akan mengikuti latihan industri di syarikat yang menjadi rakan strategik dan jika menepati syarat, mereka berpeluang ditawarkan pekerjaan di syarikat berkenaan sebaik tamat pengajian.

Sementara itu, beliau berkata Karnival TVET MADANI@Kolej KEDA yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, menawarkan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran, demonstrasi, pertandingan kemahiran, zon teknousahawan serta peluang kerjaya menerusi temu duga terbuka dan program peningkatan kemahiran.

“Terdapat 22 jenis pertandingan diadakan termasuklah pertandingan kemahiran TVET yang mendapat 280 penyertaan, pertandingan inovasi (320 penyertaan), pertandingan TVET komuniti (140 penyertaan) dan pertandingan qasidah tahfiz TVET (11 penyertaan),” katanya.

Mahdzir berkata program berkenaan merupakan usaha KEDA dalam memperkenalkan Kolej KEDA kepada masyarakat serta memberi pendedahan mengenai latihan yang ditawarkan di situ.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan