AM

Lawatan Rasmi PM anwar Ke Korea Selatan Lancar, Perkukuh Hubungan Dua Hala - Fahmi 

07/11/2025 05:23 PM

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan kejayaan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan baru-baru ini, yang disifatkan membawa impak positif dengan semua mesyuarat serta perbincangan dua hala berlangsung lancar.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata selain menghadiri mesyuarat di Korea Selatan, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping yang menyatakan penghargaan atas kemajuan rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Antara perkara yang disampaikan Presiden Xi kepada Perdana Menteri termasuk penghargaan beliau terhadap kemajuan perbincangan perdagangan antara AS dan China, yang dimulakan melalui pertemuan awal delegasi kedua-dua negara di Kuala Lumpur ketika Sidang Kemuncak ASEAN,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Anwar berada di Korea Selatan dari 30 Okt hingga 1 Nov lepas untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut bersetuju menjadikan Festival Idea Putrajaya (FOI) sebagai acara tahunan yang akan diadakan di Putrajaya setiap tahun.

“Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan pasukan penganjur atas kejayaan festival itu, yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, menteri-menteri pendidikan tinggi rantau Asia Tenggara serta sektor swasta,” katanya.

FOI Putrajaya 2025 yang berlangsung dari 4 hingga 8 Nov ini dijangka menarik hampir 500,000 pengunjung fizikal dan kira-kira dua juta peserta secara keseluruhan, termasuk 1.5 juta peserta maya dari seluruh dunia.

Memasuki tahun kedua penganjuran, festival anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu bukan sekadar platform pertukaran idea, malah menjadi wadah penting merealisasikan penyelesaian berasaskan ilmu dan kreativiti demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.

Majlis penutupan FOI disempurnakan oleh Perdana Menteri petang ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan