AM

MAIK Anjur Sesi Dialog Awam Tangani Isu Madrasah Tidak Berdaftar Secara Berhemah

07/11/2025 08:39 PM

KOTA BHARU, 7 Nov (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengambil pendekatan berhemah dalam menangani isu sekolah pondok tidak berdaftar dengan menganjurkan sesi dialog awam khas bersama semua pengurus institusi pondok pada 16 hingga 18 Nov ini.

Timbalan Yang Dipertua MAIK Datuk Mohd Anis Hussein berkata sesi itu akan menghimpunkan pengurus pondok berdaftar, belum berdaftar dan pendaftaran sementara bagi membincangkan pelbagai isu serta mendapatkan penjelasan mengenai piawaian dan garis panduan pengurusan pondok di Kelantan.

“MAIK mahu mendengar sendiri pandangan dan permasalahan yang dihadapi pengurus pondok supaya penyelesaian yang dicapai bersifat menyeluruh serta tidak membebankan mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Let’s Do I.T 2025 di pekarangan Masjid Jamek As-Salam di sini hari ini.

Mohd Anis berkata MAIK telah mengambil maklum terhadap isu pengoperasian tanpa daftar melibatkan Madrasah Ahhabul Mustofa Al Islamiah di Tumpat baru-baru ini.

Beliau berkata madrasah berkenaan telah menerima notis penutupan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan kini telah menghentikan operasi.

“Pihak MAIK dimaklumkan bahawa pengurus madrasah berkenaan telah mengemukakan surat permohonan pendaftaran semula dan menyatakan kesediaan mematuhi segala syarat yang ditetapkan. Jika mereka memenuhi kriteria serta tiada isu perundangan, MAIK akan mempertimbangkan permohonan itu,” katanya.

Mohd Anis berkata isu yang timbul melibatkan madrasah berkenaan adalah bersifat individu dan tidak mencerminkan keseluruhan institusi pondok di Kelantan, namun MAIK akan terus memastikan semua pondok dan madrasah beroperasi secara sah, selamat serta mematuhi peraturan semasa.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan