KOTA KINABALU, 8 Nov (Bernama) -- DAP mahu mengelakkan sebarang pertindihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan rakan kerjasama mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan diadakan pada 29 Nov ini.
Setiausaha Agungnya Anthony Loke berkata parti itu amat menghormati keharmonian dalam pakatan serta akan berusaha sedaya upaya mengelakkan sebarang pertindihan kerusi terutamanya dengan parti utama dalam kerajaan.
Sehubungan itu, beliau berkata tiada pertindihan kerusi DUN akan berlaku dengan Barisan Nasional (BN) selepas perbincangan mengenai agihan kerusi berjaya diselesaikan, namun perbincangan masih diteruskan dengan rakan kerjasama lain.
"Kita menghormati keharmonian dalam gabungan kita. Ada masa satu minggu lagi (sebelum penamaan calon 15 Nov), jadi kita buat pengumuman awal ini supaya kita dapat berikan masa kepada calon membuat persiapan.
"Kita cuba mengelakkan perpecahan besar dalam gabungan utama kita. Jadi kita memberikan masa untuk mencapai kesepakatan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera DAP dan Pengumuman Calon DAP PRN Sabah Ke-17 di sini hari ini.
Pada majlis itu, Loke hanya mengumumkan tujuh daripada lapan kerusi yang akan ditandingi oleh DAP dan satu lagi calon bagi DUN di kawasan pedalaman bakal diumum kemudian berikutan masih terdapat perbincangan dan persetujuan yang perlu dicapai dengan rakan kerjasama lain.
"Memang keputusan kita dan persetujuan awal yang telah dicapai ialah kita akan bertanding di kerusi tersebut, namun masih ada sedikit permintaan untuk perbincangan lanjut diadakan. Kita tiada masalah untuk berbincang," katanya.
Mengulas lanjut, Loke berkata DAP telah menilai sebaiknya DUN berkenaan dan parti itu mempunyai rekod prestasi yang baik selain pernah mempunyai wakil rakyat di kawasan terbabit.
Beliau berkata DAP akan mengemukakan calon wanita tempatan yang dihormati dan berdasarkan tinjauan parti, calon tersebut mempunyai peluang menang yang paling tinggi.
"Kita merasakan beliau mempunyai peluang menang yang paling tinggi. Jadi memang keputusan dalaman parti telah dibuat cuma dari segi pengumuman kita menghormati rakan gabungan lain biar kita ada persefahaman," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial