AM

Kepimpinan MMM Perlu Laksana Tugas Dengan Baik, Pastikan Media Bebas, Mampan - Fahmi

08/11/2025 06:34 PM

KOTA KINABALU, 8 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mahu kepimpinan baharu Majlis Media Malaysia (MMM) menjalankan tugas dengan sebaiknya dan menjadikan organisasi itu sebagai badan kawal selia industri media yang lebih mampan. 

Fahmi berkata beliau percaya sekiranya MMM mengumpulkan semua pandangan seterusnya disampaikan kepada kerajaan, ia akan dapat memastikan industri media Malaysia lebih bebas dan profesional. 

Beliau turut bersyukur kerana selepas lebih lima dekad, MMM akhirnya berjaya dibentuk dengan Mesyuarat Agung Tahunan pertama diadakan semalam.

“Jadi, hari ini, bukan hanya akta (Akta Majlis Media 2025) diluluskan dan berkuat kuasa, tetapi juga pasukan yang akan membentuk majlis pertama itu telah dipilih. Saya harap mereka dapat menjalankan tugas dengan baik. Laksanakan tanggungjawab anda tanpa rasa takut atau berat sebelah.

“Kita akan pastikan media di Malaysia bukan hanya lebih bebas, tetapi juga lebih profesional, lebih beretika dan lebih mampan, memandangkan pelbagai cabaran yang sedang dihadapi termasuk akibat daripada kebanjiran media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Hari Bersama Komuniti dan Temu Anak Muda di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Kopimpinan, Putatan di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

MMM ialah sebuah badan bebas yang ditubuhkan sebagai mekanisme kawal selia kendiri industri media negara dan berperanan mempromosikan etika kewartawanan dan kebebasan media.

Semalam, 12 individu dipilih menganggotai Lembaga MMM pada mesyuarat agung pertama majlis berkenaan mewakili tiga kategori iaitu syarikat media, wartawan dan persatuan media serta orang awam dan badan bukan kerajaan.

Selain itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi akan berusaha memastikan  beberapa perkara termasuk berkaitan kewangan MMM dapat diselesaikan segera. 

"Sebelum ini, ada beberapa aspek pentadbiran yang tidak selesai, tapi saya difahamkan telah hampir ke penghujungnya. Jadi, dana disediakan akan disalurkan kepada MMM dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, Fahmi meninjau pengoperasian menara telekomunikasi di Kampung Keronggu, Inanam bagi menilai keberkesanan pelaksanaan projek JENDELA Fasa 1, untuk memperkukuh liputan komunikasi di kawasan itu. 

Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), menara komunikasi di kawasan itu kini menyediakan liputan 4G untuk pengguna CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, dengan purata kelajuan 90 Mbps melalui penggunaan Starlink, sementara menunggu pelaksanaan sambungan gentian optik.

Inisiatif itu memberi manfaat kepada lebih 500 penduduk serta mencerminkan peningkatan ketara capaian Internet di Sabah yang kini mencatatkan 96.81 peratus berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA.

Pada masa sama, penyedia perkhidmatan juga diminta menambah kapasiti bagi memastikan kualiti liputan mematuhi piawaian MCMC.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan