AM

Sultan Ibrahim Lawat Kementerian Dalam Negeri Bahrain

08/11/2025 10:10 PM

Daripada Erda Khursyiah Basir

MANAMA (BAHRAIN), 8 Nov Bernama) -- Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan melawat Kementerian Dalam Negeri Bahrain (MOI), di sini.

Ketibaan Seri Paduka Baginda bersama dengan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa kira-kira 12.30 tengah hari itu, disambut Menteri Dalam Negeri Bahrain Leftenan Jeneral Sheikh Rashid bin Abdullah Al Khalifa.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara kemudiannya dimainkan, diikuti perbarisan kehormatan.

Seri Paduka Baginda bersama Raja Hamad kemudiannya menaiki kenderaan khas memeriksa barisan kawalan kehormatan, diikuti persembahan kawad senyap dan persembahan Pasukan Pancaragam Polis.

Sultan Ibrahim dan Raja Hamad kemudiannya ke Pejabat Raja Hamad di MOI untuk sesi pertemuan ringkas, sebelum berangkat menghadiri santapan tengah hari di Kelab Pegawai.

Turut bersama-sama Seri Paduka Baginda ialah paduka anakanda Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Tan Sri Dr Azmi Rohani; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin; dan Duta Besar Malaysia ke Bahrain Datuk Shazryll Zahiran.

Sultan Ibrahim tiba di sini pada Khamis, selepas menyempurnakan lawatan negara empat hari ke Arab Saudi.

Lawatan negara tiga hari ke Bahrain ini merupakan lawatan negara keenam Sultan Ibrahim selepas ke Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan