KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Seorang wanita menerima ugutan daripada pemberi pinjam wang tidak berlesen yang diiklankan melalui media sosial selepas terjerat dengan hutang melebihi RM100,000.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook berkata wanita berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pegawai di sebuah syarikat swasta itu pada awalnya membuat pinjaman sebanyak RM2,000 dengan seorang ejen, namun hanya menerima RM1,400 sebelum melunaskan bayaran penuh RM2,000 pada Julai lepas.
“Mangsa kemudiannya menerima tawaran pinjaman baharu berjumlah RM4,000 pada 28 Okt melalui aplikasi WhatsApp, namun enggan membuat pinjaman tersebut. Mangsa mendakwa diugut dan dipaksa pihak berkenaan sebelum akhirnya bersetuju.
“Bagaimanapun, mangsa hanya menerima RM2,100 dan telah membayar semula RM1,500, tetapi mangsa terus menerima pelbagai tawaran pinjaman daripada nombor tidak dikenali,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa membuat beberapa pinjaman baharu bagi melunaskan hutang terdahulu dan sehingga kini telah membuat 16 pinjaman dengan individu yang mengaku sebagai pemberi pinjam wang.
“Jumlah keseluruhan pinjaman yang dibuat ialah RM126,600 dengan bayaran semula sebanyak RM151,400, namun pihak berkenaan masih menuntut bayaran tambahan dan mengugut mangsa kerana gagal membuat pembayaran,” katanya.
Beliau berkata siasatan mendapati semua transaksi bayaran dibuat ke beberapa akaun bank yang dipercayai digunakan oleh sindiket sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Dalam kes berasingan, Hoo berkata seorang lelaki warga emas kerugian RM659,000 selepas terperdaya dengan pelaburan palsu dalam talian, baru-baru ini.
Beliau berkata nombor telefon lelaki berusia 65 tahun itu telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp pelaburan pada 12 Sept lepas dan ditawarkan pelaburan off market, kononnya dijalankan oleh sebuah institusi kewangan serta berurusan dengan dua individu, masing-masing seorang lelaki dan wanita.
“Mangsa yang terperdaya dengan janji keuntungan lumayan membuat lapan transaksi ke dua akaun berbeza antara 7 hingga 29 Okt berjumlah RM659,000,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut.
Hoo menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat, terutamanya yang ditawarkan melalui media sosial, aplikasi pesanan atau laman web meragukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial