POLITIK

PKR Umum 10 Calon PRN Sabah

09/11/2025 11:12 PM

KOTA KINABALU, 9 Nov (Bernama) -- Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan 10 calon daripada parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Anwar yang juga Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara berkenaan di hadapan kira-kira 5,000 penyokong di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini berkata kerusi itu adalah sebahagian daripada 23 kerusi yang akan ditandingi Pakatatan Harapan (PH) pada PRN berkenaan nanti. 

Dua daripada calon yang diumumkan itu merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, iaitu Datuk Peto Galim (Inanam) dan Datuk George Hiew Vun Zin di DUN Karamunting.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Kewangan II Datuk Yamani Hafez Musa yang juga anak Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman akan bertanding di kerusi DUN Sindumin, manakala bekas Ahli Parlimen Putatan yang juga Ketua Cabang Keadilan Putatan Datuk Awang Husaini Sahari pula akan bertanding di Petagas.

PKR turut mengetengahkan calon baharu iaitu Datuk Ruji Ubi, yang juga bekas pegawai kanan kerajaan yang pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan untuk bertanding di Merotai.

Calon lain ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong Datuk Jamawi Jaffar (Melalap), bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah Sdn Bhd Thonny Chee (Api-Api) dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Libaran Abdul Said Pimping (Gum-Gum).

Turut dicalonkan ialah bekas Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Lembaga Koko Malaysia Romansa Lamin (Segama) dan Rufinah Pengeran, seorang bekas guru yang akan bertanding di Tulid.

 

Berikut senarai calon PKR pada PRN Sabah ke-17 yang diumumkan malam ini:

N18 Inanam               Datuk Peto Galim

N20 Api-Api                Thonny Chee

N23 Petagas              Datuk Awang Husaini Sahari 

N35 Sindumin            Datuk Yamani Hafez Musa

N42 Melalap               Datuk Jamawi Jaffar

N44 Tulid                    Rufinah Pengeran

N50 Gum-Gum           Abdul Said Pimping 

N54 Karamunting       Datuk George Hiew Vun Zin 

N61 Segama              Romansa Lamin

N72 Merotai                Datuk Ruji Ubi

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan