AM

Malaysia Siap Sedia Anjur TXA 2025, Pamer Mobiliti Masa Depan

10/11/2025 10:46 PM

SEPANG, 10 Nov (Bernama) -- Semua persiapan sedang giat dijalankan bagi penganjuran Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2025 dan Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2025 yang akan berlangsung di Hotel Sama-Sama di sini mulai esok, sekali gus menandakan antara pameran paling komprehensif di rantau ini yang memfokuskan kepada mobiliti masa depan serta penyelesaian pengangkutan mampan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT) Datuk Seri M. Jana Santhiran hari ini meninjau persiapan akhir acara selama tiga hari itu bagi memastikan segala urusan berjalan lancar menjelang ketibaan perwakilan, pempamer dan peneraju industri dari seluruh Asia serta antarabangsa.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOT Datuk Normah Osman dan Pengarah Urusan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd Anita Jacobson.

Dianjurkan oleh MOT dan dikendalikan oleh Alpine Integrated Solution dengan kerjasama rakan industri utama, TXA 2025 bakal menghimpunkan lebih 100 syarikat dari Malaysia, Indonesia, China, Hong Kong, Jerman, Poland, Amerika Syarikat dan Singapura, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab mobiliti serantau yang semakin berkembang.

Menurut kenyataan kementerian itu hari ini, acara bertemakan ‘Future on The Move: Digital, Sustainable Transport, Agile Logistics & ESG-Driven Supply Chains’ dijangka menarik kehadiran 3,000 pelawat perdagangan, 1,000 peserta persidangan serta 230 tetamu kenamaan antarabangsa.

MOT memaklumkan ekspo berkenaan akan menonjolkan inovasi dalam mobiliti hijau seperti elektrifikasi, automasi pintar serta teknologi pengangkutan rendah karbon, yang mencerminkan komitmen Malaysia terhadap sistem pengangkutan mampan dan rendah pelepasan karbon.

Antara penyertaan utama ialah ANSA Digital Sdn Bhd, Batik Air, CRRC Corporation Limited, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Gamuda Bhd, Grab Malaysia, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, Malaysian Resources Corporation Bhd, MMC Port Holdings Sdn Bhd, Railway Assets Corporation, Sunway Group, Technology Depository Agency Bhd (TDA) dan YTL Corporation Bhd, yang masing-masing membawa kepakaran dalam infrastruktur rel, mobiliti bandar serta inovasi logistik.

RSC 2025 yang akan diadakan bersama dengan ekspo itu turut menampilkan sesi perbincangan mengenai teknologi keselamatan jalan raya, strategi perubahan tingkah laku serta inisiatif dasar bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan