AM

Penjawat Awam Perlu Terus Perbaiki Diri, Tingkat Mutu Perkhidmatan - Anwar

12/11/2025 03:00 PM

PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Penjawat awam perlu sentiasa berusaha memperbaiki diri dan menambah baik mutu perkhidmatan, bukan sekadar berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata penjawat awam wajar memperkukuh nilai keikhlasan, tanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas, sejajar dengan ajaran Nabi Muhammad SAW yang menekankan kecemerlangan dalam setiap pekerjaan.

Menurut Anwar, kecemerlangan bukan sekadar slogan atau ukuran prestasi, sebaliknya mencerminkan nilai dan amanah yang dipikul setiap individu dalam sistem pentadbiran.

“Apakah dengan pangkat, darjat, anugerah, pingat atau jawatan tinggi itu telah kita tunaikan amanah dengan sebaiknya, seikhlasnya dan sebersihnya? Adakah idea yang kita bawa benar-benar mengangkat martabat negara serta membela nasib mereka yang tersisih dan terpinggir?

“Itu semua persoalan nilai dan tanggungjawab yang perlu kita sematkan dalam jiwa untuk membersihkan niat dan memperkukuh integriti,” katanya ketika merasmikan Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara (SPAPN) 2025 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Perdana Menteri turut menzahirkan rasa syukur atas prestasi ekonomi semasa negara yang menunjukkan perkembangan positif.

“Pagi tadi saya umumkan langkah-langkah terakhir yang amat membanggakan, pelaburan tertinggi, kadar pengangguran rendah, ringgit semakin kukuh, dan prestasi ekonomi terbaik di Asia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya kejayaan itu tidak disalah tafsir sebagai sesuatu yang mudah dicapai.

“Malaysia bukan negara besar ekonominya, namun kita telah mencapai sesuatu yang luar biasa hasil keamanan, kestabilan politik, kerjasama berpasukan antara pimpinan politik dan penjawat awam serta keberkesanan pelaksanaan dasar,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa kejayaan negara tidak akan kekal tanpa usaha berterusan dan kesatuan semua pihak.

“Soalnya ialah kesatuan kita, pentadbiran kita dan cabaran kepada kita. . Bayangkan jika setengah juta penjawat awam bangkit dengan semangat baharu... kita bukan sekadar menyelamatkan, tetapi berusaha memastikan Malaysia terus muncul sebagai negara unggul di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata kebangkitan dan perubahan hanya akan tercapai jika seluruh penjawat awam bersatu menolak amalan rasuah serta politik berasaskan kebencian dan perpecahan.

“Bayangkan setengah juta penjawat awam bangkit dan berkata, ‘cukup dengan kerakusan, rasuah, penyalahgunaan kuasa serta politik perkauman dan kebencian. — ayuh kita bina diri, keluarga dan negara.

“Jika semangat seperti itu wujud, Insya-Allah, kita akan menyaksikan kebangkitan rakyat serta kejayaan negara yang tiada tandingan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan