AM

PM Anwar Jawab Isu Pemberian Khas 40 Peratus Hasil Sabah Di Parlimen Esok - Fahmi

13/11/2025 12:02 AM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjawab isu pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen esok, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata isu itu penting, kerana ia melibatkan hak rakyat Sabah dan keputusan kerajaan dibuat dengan teliti supaya adil serta tidak menimbulkan kekeliruan pada masa depan.

“Esok Perdana Menteri, pada 10 pagi akan menjawab soalan pertama di Parlimen berkenaan dengan isu 40 peratus hasil Sabah. Ini satu isu yang berat kerana ia melibatkan wang rakyat juga. Kita inginkan keadilan tapi kita mahukan juga satu keputusan yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Fiesta Cahaya Deepavali di Parlimen Lembah Pantai di sini, malam ini.

Fahmi berkata mesyuarat khas Jemaah Menteri semalam telah memutuskan untuk tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti nasihat Jabatan Peguam Negara yang menjelaskan bahawa hak rakyat Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih wajar dihormati dan kerajaan akan memulakan rundingan dengan kerajaan negeri bagi pelaksanaannya.

Namun, kerajaan akan merayu terhadap kecacatan dalam alasan penghakiman yang menyentuh dakwaan salah guna kuasa dan pelanggaran kewajipan perlembagaan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu sejak 1974.

“Antara perkara yang perlu kita rayu adalah takrif ataupun apa yang disebut dalam alasan penghakiman itu mengatakan bahawa semua kerajaan Persekutuan dari 1974 hingga 2021, telah melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Ini satu perkara yang teramat serius dan telah membuatkan kami insaf bahawa hal ini wajib kita rayu,” kata Fahmi.

Beliau berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kepentingan jangka panjang bagi memastikan tiada masalah baharu timbul pada masa akan datang serta demi menjaga integriti kepimpinan negara sejak 1974.

Pada 17 Okt, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan bagi tahun 1974 hingga 2021.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan