KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) telah memenangi empat pengiktirafan berprestij di majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) ke-43, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Dalam satu kenyataan hari ini, penyedia penyelesaian minyak dan gas bersepadu itu berkata anugerah itu menunjukkan komitmen teguh syarikat terhadap keselamatan pekerjaan dan kecemerlangan kesihatan.
Pada majlis tahun ini, Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB), iaitu anak syarikat EPIC yang menyediakan perkhidmatan pangkalan bekalan serta sokongan minyak dan gas, berjaya mencapai merit emas MSOSH pertamanya selepas merekodkan skor prestasi KKP yang cemerlang dalam lingkungan 85 hingga 89.99 peratus.
“Pencapaian itu menandakan satu lagi peristiwa penting bagi PBKSB, yang sebelum ini mengekalkan pengiktirafan MSOSH emas (kelas I) selama lima tahun berturut-turut.
“Selain itu, dua lagi anak syarikat iaitu EPIC OG Sdn Bhd, yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan bagi sektor minyak dan gas, dan Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd, iaitu pengendali Pelabuhan Kemaman, turut mencatatkan prestasi memberangsangkan, apabila masing-masing menerima MSOSH emas (kelas I), selepas memperoleh MSOSH (kelas II) tahun lepas,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Dr Ts Muhtar Suhaili turut dipilih sebagai penerima Anugerah Presiden MSOSH, satu pengiktirafan atas kepimpinan dan komitmennya untuk menerapkan budaya kecemerlangan keselamatan dan kesihatan dalam organisasi itu.
“Pengiktirafan ini mencerminkan usaha bersama oleh semua pekerja yang terus menjadikan keselamatan sebagai nilai teras dalam setiap operasi.
“Mereka menunjukkan bahawa amalan keselamatan baik bukan hanya mengenai pematuhan tetapi turut menjadi asas kecemerlangan operasi dan produktiviti organisasi,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa EPIC kekal komited untuk mengukuhkan sistem pengurusan KKP yang mampan dan memupuk budaya mengutamakan keselamatan dalam kalangan tenaga kerjanya.
“Kami akan terus membina momentum ini dengan meningkatkan kesedaran, menerima pakai amalan terbaik, dan memastikan setiap operasi dijalankan dalam persekitaran yang selamat, sihat dan produktif untuk kesejahteraan pekerja kami, rakan kongsi dan pihak berkepentingan,” katanya.
Sementara itu, majlis anugerah tahunan itu dianjurkan oleh MSOSH, dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Ia disertai pelbagai organisasi terkemuka dan profesional yang telah menunjukkan komitmen cemerlang untuk memupuk budaya keselamatan dan kesihatan yang kukuh di tempat kerja.
Sejak penganjurannya pada 1982, Anugerah MSOSH telah dianggap sebagai penanda aras Malaysia dalam mengiktiraf organisasi yang sentiasa menegakkan piawaian tertinggi dalam pengurusan dan pelaksanaan KKP.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial