KUALA TERENGGANU, 14 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu telah selesai menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan menyeluruh terhadap rangkaian stesen telemetri hidrologi di seluruh negeri sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah JPS Terengganu Osman Abdullah berkata langkah proaktif itu bertujuan memastikan semua sistem pemantauan hujan, aras sungai dan siren amaran awal banjir berada dalam keadaan optimum serta berfungsi dengan baik.
Beliau berkata kerja-kerja penyelenggaraan itu melibatkan 93 stesen hujan, 54 lokasi stesen aras air sungai, stesen kamera web (10 lokasi) dan siren amaran awal banjir (11 lokasi).
"Langkah ini bagi memastikan semua peralatan di semua stesen berfungsi dengan baik bagi menyalurkan data tepat dan masa nyata (real time) ke pusat kawalan utama.
"Semua stesen di seluruh negeri telah diselenggara sepenuhnya. Usaha ini amat penting untuk memastikan data hidrologi yang diterima sentiasa tepat, boleh dipercayai dan responsif terhadap perubahan cuaca semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mengulas lanjut, Osman berkata maklumat dikumpul melalui sistem itu akan membantu Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) membuat ramalan dan mengeluarkan amaran awal banjir dengan lebih berkesan apabila berlaku hujan lebat berterusan.
Beliau berkata antara komponen utama yang diselenggara ialah pemeriksaan dan servis peralatan pengesan hujan serta paras air, kalibrasi dan ujian sistem penghantaran data (telemetri) serta pembersihan kawasan stesen dan pembaikan infrastruktur kecil.
“Dengan kesiapsiagaan teknikal yang diperkukuh, usaha mengurangkan kehilangan nyawa dan harta akibat bencana banjir dapat dielakkan atau dikurangkan,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan musim MTL dijangka berterusan hingga Mac tahun depan dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat diramal berlaku sepanjang tempoh berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial