KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara yang adil dan bertanggungjawab, terutamanya dalam membantu Thailand dan Kemboja mencapai penyelesaian berkekalan berkaitan isu sempadan kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia komited dan tegas dalam aspek melibatkan keamanan serantau yang seterusnya menyumbang kepada pengukuhan kestabilan di rantau Asia Tenggara.
Anwar berkata beliau hari ini telah berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bagi menilai perkembangan terkini berkaitan isu itu.
"Dalam perbincangan tersebut, saya menghargai setulusnya pendekatan yang matang yang diambil pihak Kemboja yang terus memilih jalan damai serta memberi keutamaan pada penyelesaian melalui perundingan dan dialog yang sihat.
"Malaysia tentunya mendukung sepenuhnya pendirian Kemboja untuk menggunakan saluran yang telah disepakati bersama sebelum ini dan menyemangati Perjanjian Damai Kuala Lumpur bertarikh 26 Oktober 2025 sebagai landasan untuk menamatkan pertikaian yang berlarutan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar prinsip berkenaan penting bagi memastikan sebarang perbedaan didepani dengan tenang, tersusun dan berasaskan persefahaman serantau.
Sementara itu, Manet dalam catatan Facebooknya hari ini menyatakan terima kasih kepada Anwar kerana terus memainkan peranan penting dan aktif dalam memudahkan dan mencari penyelesaian secara aman antara Kemboja dan Thailand.
Media antarabangsa melaporkan pada Isnin, Panglima Angkatan Tentera Thailand mengumumkan penggantungan semua perjanjian dengan Kemboja berikutan letupan periuk api di sempadan sekali gus meningkatkan lagi ketegangan selepas pertempuran pada Julai.
Empat askar Thailand dilaporkan cedera selepas periuk api jenis PMN-2 meletup semasa rondaan di wilayah Sisaket dengan seorang kehilangan kaki kanan.
Perjanjian Damai Kuala Lumpur ditandatangani Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Hun Manet, disaksikan oleh Anwar dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial