POLITIK

Pandikar Amin Yakin Tawan Pintasan, Fairuz Bertanding Calon Bebas

15/11/2025 03:03 PM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KOTA BELUD, 15 Nov (Bernama) -- Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia yakin mampu meraih kemenangan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 meskipun berdepan saingan 11 penjuru.

Beliau berkata keyakinan itu berpaksikan pengalaman luas serta hubungan rapat dengan rakyat di kawasan berkenaan setelah berkhidmat selama lebih empat dekad.

“Yang menjadikan saya yakin di Pintasan ini, saya telah berkhidmat lebih kurang 40 tahun. Pilihan raya sebelum ini, saya bertanding atas tiket USNO. Lepas itu, Perikatan Nasional dan BN pada ketika itu yang mencalonkan Datuk Fairuz, itu lawan saya.

“Jadi, saya cuma kalah 84 undi saja pada ketika itu,” katanya kepada Bernama selepas penamaan calon di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak di sini hari ini.

Pandikar Amin kini lebih bersedia berbanding PRN lepas, dengan jentera pilihan raya diperkukuh bagi memastikan kemenangan berpihak kepada USNO.

Sementara itu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan Datuk Fairuz Renddan hari ini mengesahkan akan mempertahankan kerusi berkenaan sebagai calon Bebas.

Mengulas mengenai kedudukannya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Fairuz berkata beliau sudah melepaskan jawatan sebagai ketua pemuda.

Beliau berkata keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas bukan sahaja atas dasar maruah peribadi tetapi turut membawa semangat jentera dan anak muda Sabah.

DUN N08 Pintasan menyaksikan kedua-dua calon berkenaan bakal dicabar Awang Salleh Makmud (Perikatan Nasional-PN), Syarif Mohd Shukree Danchingan (Bebas), Raplin Samat (Parti Solidariti Tanah Airku-STAR), Abdullah Otong (Warisan), Tajuddin Padis (Bebas), Datuk Almudin Kaida (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat-KDM), Tadzul Radim (Barisan Nasional-BN), Mohd Rizal Saiman (Bebas) dan Lomog Rudin @ Efejus Rudin (Parti Impian Sabah-PIS).

Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 yang membabitkan pertandingan 73 kerusi DUN ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan