AM

Kurniaan Pingat PPT Bakar Semangat Tang Jie-Ee Wei Cipta Lebih Banyak Kejayaan

15/11/2025 05:14 PM

KUALA KANGSAR, 15 Nov (Bernama) -- Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menyifatkan penganugerahan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ke-69 sebagai suntikan semangat bagi terus melakar kejayaan pada masa hadapan.

Tang Jie berkata penganugerahan pingat itu sebagai satu pengiktirafan kepada mereka berdua sepanjang berkecimpung dalam arena sukan badminton negara sehingga menjadi juara dunia.

“Ya, kami rasa sangat bangga boleh terima anugerah ini dan ia sebagai satu pencetus semangat untuk lebih berjaya lagi.

“Dalam pada itu, kami juga bersyukur dengan pemberian pingat ini dan berterima kasih kepada tuanku (Sultan Nazrin),” katanya selepas menerima anugerah berkenaan di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenaan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada 205 penerima bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-69.

Antara anugerah lain yang diberikan adalah Darjah Paduka Cura Si Manja Kini, Darjah Paduka Mahkota Perak, Darjah Ahli Cura Si Manja Kini, Darjah Ahli Mahkota Perak, Pingat Jasa Kebaktian dan Pingat Lama Perkhidmatan. 

Dalam pada itu, Ee Wei berkata mereka kini dalam persiapan ke Terbuka Australia di Sydney dari 18 hingga 23 Nov ini.

“Pada masa ini, kami hanya fokus kepada kejohanan yang terdekat di Australia dan Sukan Olimpik di Los Angeles agak jauh (tahun 2028) untuk kami menilai dan merancang tentang keupayaan kami,” katanya.

Pada 31 Ogos lepas, gandingan negara itu melakar sejarah dengan menjuarai Kejohanan Dunia di Paris, Perancis. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan