AM

Tren Pertama Tiba Di Johor, Projek RTS Link Masuki 'Fasa Kritikal' Ujian Percubaan

15/11/2025 05:43 PM

JOHOR BAHRU, 15 Nov (Bernama) -- Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura memasuki fasa baharu hari ini, apabila set Tren 02 menjadi tren pertama berjaya ditempatkan di Depoh Wadi Hana, sekali gus menandakan permulaan ‘fasa kritikal’ bagi proses ujian dan pentauliahan projek itu.

Menempuh perjalanan sejauh 541 kilometer dari kemudahan CRRC Rolling Stock Centre di Batu Gajah, Perak bermula 12 Nov lepas pada kelajuan kira-kira 70 kilometer sejam, set tren empat gerabak berkenaan tiba di depoh itu tengah malam tadi dengan dibawa menggunakan empat lori treler. 

Ketua Pegawai Eksekutif RTS Operations Pte Ltd (RTSO) Dr Ahmad Marzuki Ariffin berkata segala proses membawa tren berkenaan mengambil kira faktor keselamatan, lalu lintas dan cuaca, dengan beberapa titik hentian di Kuala Lumpur dan Melaka dan Tol Kempas di sini.

“Penghantaran tren ini menandakan peralihan projek ke fasa praoperasi, dengan pelbagai aktiviti pengujian dan penyelarasan sistem akan dijalankan bagi memastikan tren dan infrastrukturnya berfungsi dengan sempurna serta mematuhi piawaian keselamatan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Ahmad Marzuki berkata keselamatan tapak depoh diberi keutamaan sejak peringkat persediaan terutama memastikan tanah cukup kukuh untuk menampung kren berat yang digunakan bagi kerja-kerja penurunan setiap gerabak dengan berat 32 tan itu ke landasan bermula pagi ini. 

Beliau berkata setiap hentian perjalanan turut melibatkan pemeriksaan keselamatan termasuk semakan semula titik pengikat bagi memastikan tiada kelonggaran semasa tren bergerak.

Beliau berkata RTSO turut bekerjasama dengan CRRC bagi memastikan laluan dari kilang hingga ke depoh lancar, dan MRT Corp bagi penyediaan tapak yang selamat.

“Memang penghantaran dan penurunan tren ke landasan ini adalah satu peristiwa penting untuk projek RTS. Depoh kini bersedia menerima set tren seterusnya dan kami akan memulakan proses ujian dan pentauliahan,” katanya.

Ahmad Marzuki berkata secara keseluruhannya sebanyak lapan set tren yang masing-masing terdiri daripada empat gerabak akan beroperasi bagi perkhidmatan RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

Bagi fasa penghantaran pertama, empat set tren dihantar dan ditempatkan di Depoh Wadi Hana, yang juga pusat fasiliti penyelenggaraan serta operasi tren RTS berkenaan, sementara baki empat set tren dijadualkan tiba secara berperingkat bulan depan.

Projek RTS sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura itu dijangka siap pada Disember 2026 dan mula beroperasi awal 2027 serta dijangka mampu membawa hingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.

RTSO ialah syarikat usaha sama antara Prasarana RTS Operations Sdn Bhd dan SMRT RTS Pte Ltd yang memiliki, mereka bentuk, membina dan membiayai aset operasi RTS Link termasuk tren, landasan serta sistem.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan