AM

Jangan Marah Anak Yang Jaga, Pesan PM Anwar Kepada Pesakit Strok

15/11/2025 06:47 PM

PUTATAN, 15 Nov (Bernama) -- “Jangan marah anak yang jaga ya, cakap baik-baik.”

Demikian pesanan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menziarahi seorang pesakit strok, Tandu @ Tarsilla Soliat, 68, di Kampung Duvanson, di sini hari ini. 

Theresia Alexander, 38, berkata ibunya sekadar menggangguk apabila mendengar pesanan Perdana Menteri itu.

Theresia berkata ibunya mengalami sawan pada Jun lepas dan apabila dibawa ke hospital, doktor mengesahkan menghidap neurosifilis.  

“Dia koma hampir dua bulan di Hospital Queen Elizabeth II. Ini baru sahaja okey dan boleh bergerak sedikit serta bercakap tetapi masih tidak boleh makan, hanya minum susu melalui tiub,” katanya.

Menurut Theresia, mereka sekeluarga sama sekali tidak menyangka Perdana Menteri sudi meluangkan masa menziarahi ibunya yang terlantar sejak tiga bulan lepas.

Justeru, katanya, mereka sangat terharu dan teruja apabila pemimpin negara itu benar-benar berada di hadapan mata, serta turut menyampaikan sumbangan.

“Seluruh keluarga kami memang minat beliau (Perdana Menteri) kerana sikap yang mesra rakyat. Tadi pun, beliau (Anwar) sempat berpesan pada ibu, ‘jangan marah anak menjaga, cakap baik-baik,” katanya yang merupakan anak kelima daripada enam beradik.

Kunjungan Perdana Menteri ke kampung itu merupakan sebahagian daripada Program Ziarah Kasih Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, dengan Perdana Menteri menziarahi tiga rumah penduduk uzur dan menyampaikan sumbangan bakul makanan serta bantuan tunai RM1,000 kepada setiap keluarga.

Beliau turut ditemani calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Petagas Datuk Awang Husaini Sahari.

Selain kediaman Tandu, Pengerusi PH itu turut menyantuni keluarga Rogina @ Boto Soliat, 76, yang mengalami retak tulang pinggul selepas terjatuh setahun lepas. 

Anak lelakinya, Henty Jamsil, 46, berkata sejak kejadian itu, ibunya tidak lagi mampu berdiri atau berjalan, hanya duduk di katil.

“Untuk mandi pun kami perlu angkat dan letakkan ibu di kerusi roda. Rawatannya pula dibuat secara berkala di Klinik Ketiau, Putatan,” katanya yang bersyukur menerima sumbangan daripada Anwar. 

Persinggahan terakhir Perdana Menteri bagi program itu ialah lawatan ke rumah seorang lagi warga emas Allen Patrick, 63, di Kampung Sipanggil, kira-kira 15 minit dari Kampung Duvanson.

Anwar berada di Sabah selama dua hari hingga esok untuk menghadiri beberapa program antaranya Program Dialog Anak Muda di ITCC, Penampang, Ceramah Perdana dan Makan Malam Bersama Masyarakat Cina Kota Kinabalu dan Program Ramah Mesra PM Sayang Sabah Bersama Pimpinan Masyarakat DUN Tulid, Keningau. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan