POLITIK

Chaya, Ma'mun Dua Beradik Bersaing Di DUN Kukusan

15/11/2025 09:53 PM

TAWAU, 15 Nov (Bernama) -- Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menyaksikan dua beradik mewakili parti politik berbeza bertembung di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan namun membawa misi sama iaitu memperjuangkan nasib penduduk Sabah.

Chaya Sulaiman, calon Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan berkata pertembungan politik dengan adiknya Ma'mun tidak akan menjejaskan hubungan mereka meskipun membawa ideologi politik berbeza.

"Saya membawa panji BN dan dia (Ma’mun) membawa panji partinya sendiri, pertembungan keluarga dalam pilihan raya di Parlimen Kalabakan ini bukan perkara baharu.

"Kami bertanding secara profesional, PRN ini wadah rakyat menentukan siapa yang layak mewakili mereka dan parti mana yang lebih dekat di hati rakyat," katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Cin di sini hari ini.

Ma'mun yang merupakan calon Parti Warisan (Warisan) di kerusi itu pula berkata hubungan kekeluargaan tetap utuh meskipun terpaksa bersaing dengan kakaknya pada PRN kali ini.

"Pada Pilihan Raya Umum 2018 saya bertanding mewakili Warisan di kerusi Parlimen Kalabakan melawan calon BN ketika itu arwah Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh. Ketika itu kakak saya bekerja di kem lawan (Abdul Ghapur), namun saya menang.

"Sekali lagi, pada 2022, saya bertanding mewakili Warisan untuk kerusi Parlimen Kalabakan dan berdepan persaingan dengan calon BN iaitu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi, dia (Chaya) bersama Andi melawan saya… tidak ada masalah, sehingga hari ini mungkin Tuhan sudah menentukan takdir kami bertembung di DUN Kukusan," katanya.

Ma'mun dan Chaya antara 10 calon yang bertanding di DUN Kukusan termasuk penyandangnya Datuk Rina Jainal yang sebelum ini mewakili Warisan namun kali ini bertanding sebagai calon Bebas selepas keluar daripada parti itu dan parti Harapan Rakyat Sabah yang disertainya selepas keluar daripada Warisan.

Sementara itu, pertembungan adik beradik turut berlaku di kerusi DUN Petagas dalam kawasan Parlimen Putatan apabila Awang Husaini Sahari yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan menentang abangnya Awang Ahmad Sah yang bertanding atas tiket Bebas.

Pada PRN kali ini, Awang Ahmad Sah yang juga penyandang kerusi Petagas bertanding sebagai calon Bebas selepas tidak dicalonkan semula oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN kali ini.                    

Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN kali ini dan tarikh pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov manakala hari pengundian 29 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan