AM

Penyelesaian MA63 Perlu Pertimbangan Menyeluruh - PM Anwar

16/11/2025 02:41 PM

KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Penyelesaian tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memerlukan pertimbangan menyeluruh yang mengambil kira peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengakui masih terdapat beberapa tuntutan Sabah di bawah MA63 yang belum diselesaikan, namun menegaskan bahawa Kerajaan MADANI mencatat lebih banyak kemajuan berbanding pentadbiran-pentadbiran terdahulu dalam menangani isu berkaitan.

“Kalau tanya tentang beberapa tuntutan Sabah yang belum dipenuhi, saya setuju. Tetapi bandinglah… siapa yang mereka sokong? Kerajaan mana sebelum ini? Ketua Menteri dulu, Perdana Menteri dulu… dari segi perbincangan, berapa banyak yang sudah kita selesaikan?

“Tetapi ada isu perlembagaan yang perlu dibahaskan. Bolehkah kita dapatkan sokongan dua pertiga di Parlimen? Semua ini saya kena teliti. Ia bukan semata-mata soal Sabah mahu itu dan ini; saya boleh dengar, tetapi saya perlu lihat Perlembagaan. Bolehkah kita dapat dua pertiga untuk melaksanakannya?” katanya pada program Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah bersama YAB Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mariah Doksil, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarang Daily Express Datuk James Sarda, Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Datuk Lichong Angkui, Ketua Editor The Borneo Post Datuk Chiu Nai Wen, dan Ketua Editor See Hua Daily News Toh Chee Kong.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPM63), dilaporkan berkata Kerajaan MADANI menyelesaikan sembilan tuntutan MA63, manakala empat lagi diselesaikan kerajaan terdahulu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan