AM

Speaker Saran Exco Pendidikan Johor Buat Lawatan Mengejut Ke Sekolah

17/11/2025 02:03 PM

ISKANDAR PUTERI, 17 Nov (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyarankan supaya Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Aznan Tamin membuat lawatan mengejut ke sekolah-sekolah di negeri berkenaan.

Beliau berkata lawatan atau pemeriksaan itu wajar dilakukan untuk melihat keadaan sebenar dan memastikan setiap sekolah sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Ahli DUN Rengit itu berkata lawatan perlu dilakukan tanpa memaklumkan kepada agensi berkaitan termasuk Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan.

“Berdasarkan pengalaman, saya pernah melawat sebuah sekolah di Kuala Lumpur dan ketika saya masuk, tiada halangan untuk terus ke sekolah… tetapi apabila saya melawat sebuah sekolah di luar bandar di Terengganu, pengawal keselamatan tidak membenarkan saya masuk sehingga saya menandatangani buku log masuk.

"Itu satu contoh yang baik dalam memastikan keselamatan sekolah terjaga,” katanya pada sesi persidangan DUN Johor Keempat di Kota Iskandar hari ini.

Mohd Puad berkata demikian selepas Aznan Tamin (BN-Tanjung Surat) menjawab soalan lisan mengenai program Karakter Murid Johor dan kesan Kempen Anti Buli Johor.

Beliau juga berkata isu keselamatan murid kini semakin serius berikutan insiden jenayah atau pembunuhan melibatkan pelajar sekolah, yang dahulunya hanya berlaku di luar negara, turut terjadi di Malaysia.

Susulan itu, katanya, lawatan mengejut dapat membantu pihak berkuasa mengenal pasti kelemahan yang tidak dilaporkan secara rasmi, seterusnya memperbaiki aspek keselamatan bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan mengenai langkah yang telah dan akan diambil bagi memastikan keselamatan murid di seluruh Johor sentiasa terpelihara, Aznan berkata sebuah jawatankuasa khas iaitu Johor Safe Zone telah ditubuh membabitkan beberapa portfolio Exco Kerajaan Negeri bagi memastikan sekolah di negeri itu berada dalam keadaan selamat.

Beliau berkata langkah itu turut disokong melalui bimbingan berterusan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah melalui sesi latihan, taklimat pelaksanaan serta pemantauan berkala.

“Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan menjalinkan kolaborasi strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor.

“PDRM turut terlibat secara langsung melalui penempatan Pegawai Perhubungan Sekolah menerusi Program Jom Ke Sekolah serta Sekolah Rakan Cop Johor, dan yang terkini ialah penggunaan kod imbasan QR bagi pemeriksaan polis peronda di semua sekolah dan asrama di Johor,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan