AM

Selangor Dijangka Laksana Tenaga Nuklear Sebagai Sumber Tenaga Dalam Lima Tahun - Amirudin

17/11/2025 02:37 PM

SHAH ALAM, 17 Nov (Bernama) -- Selangor dijangka memulakan pelaksanaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih di negeri ini dalam tempoh lima tahun lagi, menurut persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri kini berada dalam fasa awal penerokaan tenaga nuklear, termasuk pembangunan kepakaran berkaitan.

“Jika semuanya berjalan lancar, pelaksanaan paling awal boleh dilakukan dalam tempoh lima tahun. Pada masa ini, kita sedang membina kapasiti, termasuk menghantar pegawai yang terlatih dalam bidang nuklear.

“Kita juga akan merujuk kepada universiti tempatan. Beberapa universiti seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menghubungi saya untuk melihat bagaimana kita boleh berinteraksi. Ini semua sebahagian daripada langkah awal kita,” katanya pada persidangan DUN Selangor di Dewan Negeri Selangor.

Amirudin berkata demikian menjawab soalan tambahan Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) berhubung perancangan kerajaan negeri dan anggaran tempoh pelaksanaan sepenuhnya sumber tenaga bersih menerusi tenaga nuklear.   

Amirudin berkata bidang tenaga nuklear di Malaysia masih kurang diterokai sehingga ada pelajar tempatan yang terpaksa mencari inisiatif sendiri di luar negara.

“Saya sendiri bertemu pelajar kita di Universiti Tsinghua, China. Mereka terpaksa meneroka sendiri. Kita masih melihat nuklear seolah-olah satu daripada sektor yang sukar diterokai,” katanya.

Amirudin menegaskan bahawa masa depan menuntut persediaan rapi kerana negara tidak boleh terus bergantung kepada bahan api fosil seperti gas dan arang batu, yang terbukti tidak lestari berbanding tenaga nuklear dan sumber lain.

Bagaimanapun, isu keselamatan, risiko kebocoran, dan persepsi awam masih menjadi perkara utama yang perlu diperjelaskan, dengan pengalaman negara lain seperti Jerman dijadikan pengajaran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan