KUCHING, 17 Nov (Bernama) -- Pelancaran Tetingkap Perbankan Islam oleh Development Bank of Sarawak (DBOS) bukan sahaja mengukuhkan tawaran kewangannya malah juga meneguhkan komitmen Sarawak terhadap pembangunan inklusif dan berasaskan nilai.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif itu merupakan peluang yang tepat pada masanya dan strategik untuk DBOS meletakkan Sarawak dalam ekosistem kewangan Islam global, sekali gus menandakan era baharu yang ditentukan oleh skala, kemampanan dan integrasi strategik.
“Sektor kewangan Islam global mencatatkan pertumbuhan yang luar biasa pada era pascapandemik, membuka peluang baharu untuk Sarawak meletakkan kedudukannya dalam landskap kewangan Islam antarabangsa.
“Menurut laporan Standard Chartered Bank mengenai Perbankan Islam bagi Institusi Kewangan: Memanfaatkan Pertumbuhan ketika Peralihan Global, nilai aset kewangan patuh syariah termasuk perbankan Islam, sukuk dan dana pelaburan telah melepasi US$5.5 trilion pada 2024. Semua aset ini diunjurkan mencecah US$7.5 trilion (US$1=RM4.1) menjelang 2028,” katanya di sini, hari ini.
Abang Johari berkata demikian ketika merasmikan Hari Integriti DBOS bertemakan Memajukan Sarawak dengan Integriti, dan melancarkan Tetingkap Perbankan Islam DBOS.
Beliau berkata inisiatif itu menandakan satu langkah penting bagi DBOS dalam menempatkan Sarawak dalam ekosistem kewangan Islam global yang semakin berkembang pesat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial