JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Catat 2,210 Kes, Nilai Rampasan Lebih RM800 Juta Sejak Januari

17/11/2025 05:34 PM

KUANTAN, 17 Nov (Bernama) -- Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan 2,210 kes melibatkan tangkapan sebanyak 2,085 orang dengan nilai rampasan berjumlah RM826.7 juta sejak Januari hingga Sabtu lepas.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata jumlah rampasan yang melibatkan pelbagai jenis barangan dan kenderaan itu menunjukkan peningkatan 800 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas.

"Jumlah RM826.7 juta rampasan ini melibatkan tiga negeri, iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan, tetapi paling banyak diperoleh adalah di Kelantan.

"Kes tangkapan pula kebanyakannya melibatkan warga tempatan dan rampasana membabitkan barang kontraban, serta barang bersubsidi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Komander Briged Tenggara PGA di Kem PGA Galing di sini hari ini.

Pada majlis itu, Pemangku Komander Briged Tenggara PGA ACP Ijid Landu Binju menyerahkan tugasnya kepada Ahmad Radzi Hussain sambil disaksikan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (PGA) Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.

Ahmad Radzi berkata pihaknya akan terus menjalankan pelbagai operasi dan melaksanakan penguatkuasaan termasuk merobohkan jeti-jeti haram di sepanjang Sungai Golok, Kelantan dalam usaha mengekang pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang negara.

"Kita akan pertingkatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan dengan melaksanakan operasi merobohkan jeti haram dengan kerjasama kerajaan Kelantan, pelbagai agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ini bagi mengekang aktiviti pencerobohan, penyeludupan, pengedaran dadah, kemasukan warga asing tanpa permit sah dan jenayah rentas sempadan yang berlaku," katanya.

Beliau berkata Briged Tenggara PGA berkuasa dalam menjaga sempadan di sepanjang Sungai Golok sehingga Perak dengan jarak sejauh 44.8 kilometer.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya bersedia untuk menghadapi fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula sejak Khamis lepas, bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir.

"Sebanyak 95 anggota dan pegawai Briged Tenggara telah dikerahkan untuk bersiap sedia dan boleh diatur gerak pada bila-bila masa. Bagi operasi menyelamat mangsa banjir, sebanyak 24 bot, 39 lori, 32 pacuan empat roda, lapan van berserta lain-lain peralatan menyelamat telah disediakan," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan