AM

Tunku Mahkota Ismail Rasmi Logo Baharu KPRJ, Tandakan Transformasi Korporat 30 Tahun

17/11/2025 08:25 PM

ISKANDAR PUTERI, 17 Nov (Bernama) -- Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) hari ini menandakan ulang tahun ke-30 penubuhannya, dengan pelancaran identiti korporat baharu sebagai langkah memperkukuh peranan strategik dalam pembangunan negeri pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-30 KPRJ di Seri Medini, di sini.

Majlis berprestij itu disempurnakan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, turut disertai Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi KPRJ, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ Datuk Lukman Abu Bakar.

Keberangkatan Tunku Mahkota Ismail menyerlahkan sokongan berterusan kepimpinan negeri terhadap peranan KPRJ, sebagai pemacu utama agenda sosioekonomi Johor.

Sambutan bermula dengan tayangan montaj khas yang mengimbau perjalanan tiga dekad KPRJ sejak ditubuhkan pada 1995, dalam menerajui pembangunan strategik negeri.

Turut dilancarkan ialah Coffee Table Book yang mendokumentasikan sejarah, pencapaian serta hala tuju KPRJ selaras dengan tema sambutan “3 Dekad Membina Legasi, Mencorakkan Masa Hadapan”.

Kemuncak acara menyaksikan Tunku Mahkota Ismail berkenan melancarkan logo baharu KPRJ yang baginda ilhamkan dan kemudiannya menandatangani plak perasmian bangunan baharu syarikat itu.

Onn Hafiz berkata sejak penubuhan KPRJ pada 1995 sehingga 2024, syarikat itu telah mencatatkan pendapatan terkumpul sebanyak RM3.54 bilion, dengan keuntungan terkumpul melebihi RM2.3 bilion serta nilai aset keseluruhan mencapai RM2.7 bilion.

Beliau berkata prestasi itu bukan sekadar mengukuhkan kedudukan korporat KPRJ, malah turut diterjemahkan melalui bayaran dividen kepada kerajaan negeri dan pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Sehingga kini, sebanyak RM351.9 juta telah dibelanjakan bagi tujuan tersebut. Ini membuktikan komitmen KPRJ mengembalikan keuntungan perniagaan kepada kerajaan negeri sebagai pemegang saham dan kepada rakyat Johor,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Sementara itu, Lukman berkata penjenamaan semula KPRJ merupakan transformasi menyeluruh, yang menyatukan identiti anak syarikat dan pelaburan di bawah satu kerangka korporat yang lebih tersusun.

“Penjenamaan semula ini bukan hanya perubahan logo, tetapi penyatuan seluruh ekosistem KPRJ, bagi mewujudkan identiti korporat lebih jelas, teguh dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata KPRJ akan terus memperkukuh penglibatan dalam projek berimpak tinggi, merangkumi infrastruktur strategik, hartanah, pelaburan serta sektor alam sekitar selari agenda kelestarian negeri.

Sambutan Ulang Tahun Ke-30 itu menjadi manifestasi keyakinan KPRJ terhadap masa hadapan yang dipacu inovasi, kelestarian dan komitmen berterusan kepada pembangunan Johor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan