AM

PLUS Lancar Pelan Hala Tuju Lima Tahun Bina Rangkaian Lebuh Raya Pintar Dan Mampan

17/11/2025 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- PLUS Malaysia Bhd melancarkan Pelan Hala Tuju Strategik lima tahun untuk mengubah rangkaian lebuh raya utama negara menjadi infrastruktur pintar, teknologi bersepadu dan berdaya tahan iklim, sekali gus mengukuhkan peranan sebagai pemangkin utama ekonomi digital moden Malaysia.

Pelan hala tuju itu mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI), data raya dan kejuruteraan mampan merentas keseluruhan ekosistem lebuh raya bagi meningkatkan kecekapan logistik, menyokong industri baharu yang sedang berkembang serta mempertingkat mobiliti serantau jangka panjang.

Ketua Strategi dan Kelestarian PLUS Satpal Singh berkata inisiatif itu berasaskan lima tonggak strategik iaitu operasi dan penyenggaraan berasaskan AI, perjalanan pelanggan berasaskan teknologi, pembangunan hijau dan kitaran, perancangan berpusatkan komuniti serta tindakan kolektif bersama rakan industri dan kerajaan.

“Transformasi ini melangkaui pengurusan lebuh raya secara tradisional. Kami membina sistem infrastruktur pintar yang akan mempercepat pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya tahan rantaian bekalan dan mewujudkan koridor mobiliti yang lebih pintar untuk negara,” katanya dalam temu bual eksklusif program The Nation di Bernama TV hari ini.

Komponen utama pelan itu merangkumi penyenggaraan dan sistem keselamatan dipacu AI, seperti dron yang mengurangkan masa pemeriksaan sebanyak 98 peratus, kamera berasaskan AI untuk mengesan jalan berlubang dan rosak serta pusat pemantauan trafik terbesar ASEAN yang menggabungkan 2,900 CCTV dengan analisis masa nyata.

Satpal turut menekankan sistem amaran bunuh diri berkuasa AI di Jambatan Pulau Pinang yang berjaya menghalang 44 cubaan bunuh diri sejak dilaksanakan pada 2023.

Beliau berkata PLUS telah menyiapkan penilaian risiko iklim hujung ke hujung pertama di Malaysia, yang dibentangkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bagi membolehkan syarikat mengenal pasti lokasi berisiko banjir dan tanah runtuh, mengukuhkan infrastruktur serta membantu komuniti yang tinggal di sepanjang lebuh raya.

Bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti bersih, Satpal berkata PLUS telah memasang 114 stesen pengecasan pantas kenderaan elektrik (EV) di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dan menyasarkan 350 pengecas menjelang 2028, termasuk hyperstation EV pertama negara.

Beliau berkata usaha pembangunan komuniti oleh PLUS kekal sebagai tunjang utama pelan berkenaan, dengan 90 peratus pengendali gerai di hentian rehat terdiri daripada penduduk setempat, lebih 500 PKS disokong di seluruh rangkaiannya dan 2,500 sukarelawan digerakkan setiap tahun di seluruh negara.

Beliau yang mengulas mengenai kebimbangan pengguna memberikan jaminan bahawa kos tol akan dikekalkan.

“Kami memanfaatkan kecekapan dan inovasi untuk memastikan kos menggunakan Lebuhraya PLUS dapat dikekalkan sambil mempertingkat pengalaman keseluruhan pelanggan,” katanya, sambil menambah Aplikasi PLUS kini dilengkapi chatbot AI serta nasihat masa perjalanan berasaskan pembelajaran mesin.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan